Saturday, October 26, 2013

Penerbangan terakhir bawa pulang jemaah haji 18 November

Penerbangan terakhir bawa pulang jemaah haji 18 November
GEORGE TOWN - Seramai 19,482 jemaah haji Malaysia akan dibawa pulang secara berperingkat melibatkan 64 penerbangan sehingga 18 November.

Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, setakat ini tujuh penerbangan selamat tiba ke tanah air melibatkan 2,492 jemaah.

"Bagi jemaah dari Pulau Pinang, mereka akan berangkat pulang pada 2, 3 dan 4 November ini melibatkan lima penerbangan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Beliau berkata demikian selepas menziarahi waris keluarga Allahyarhamah Jamilah Hussain, 62, yang merupakan jemaah haji Malaysia ke-16 meninggal dunia di tanah suci Makkah.

Sempena lawatan itu, Abdul Azeez turut mengadakan majlis tahlil dan menyerahkan bantuan khairat kematian kepada keluarga arwah di rumahnya di Teluk Bahang di sini.

Jamilah yang meninggal dunia akibat serangan jantung dikebumikan di tanah perkuburan Syara’ek, Makkah, pada 23 Okt lepas. - Bernama.