Friday, October 11, 2013

Polis melakukan kesalahan bawah Seksyen 15(3) Kanun Acara Jenayah

di bawah Seksyen 15(3) Kanun Acara Jenayah
Pengerusi biro, Lee Chean Chung percaya tembakan yang dilepaskan ke udara oleh polis bagi menyuraikan hadangan tersebut adalah salah bawah Seksyen 15(3) Kanun Acara Jenayah.

Justeru, Biro Alam Sekitar PKR hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bagi menggesa badan itu menyiasat cara polis menyuraikan hadangan masyarakat Penan berhampiran tapak empangan Murum, Sarawak pada 3 Oktober lalu.

Menurut Lee Chean Chung pihaknya mempunyai bukti tentang kejadian itu dan akan menyerahkannya kepada Suhakam apabila mereka mula membuka kertas siasatan terhadap insiden itu.

"Saya dimaklumkan ada bukti dan rakaman atas kejadian yang berlaku hari itu.

"(Bukti ini) akan diberikan dan kami akan beri kerjasama sepenuhnya," kata anggota dewan undangan negeri Semambu itu selepas berjumpa Suhakam pagi tadi.

Menurut Chean Chung, laporan mereka diterima Penolong Setiausaha Laporan Suhakam, Shahizad Sulaiman.

Calon PKR bagi Parlimen Baram dalam pilihan raya umum lalu, Roland Engan yang turut hadir di ibu pejabat Suhakam pagi tadi menzahirkan kerisauannya tentang proses takungan empangan Murum.

Dakwanya, proses takungan sudah dimulakan walaupun penduduk Penan yang tinggal di kawasan berdekatan belum dipindahkan sepenuhnya kerana penempatan baru buat mereka belum disiapkan.

Perkara itu turut termuat dalam laporan mereka kepada Suhakam.

Empat orang wakil NGO Jaringan Orang Asal SeMalaysia turut hadir bersama sewaktu laporan itu dibuat pagi tadi.

Pada 2 Oktober lalu seorang anggota polis yang dikenal pasti sebagai 'Sufian' dilapor melepaskan tembakan sewaktu menyuraikan kira-kira 300 orang Penan yang membuat hadangan berhampiran tapak empangan Murum.

Beliau adalah sebahagian daripada kira-kira 30 anggota polis yang ditugaskan menyuraikan hadangan itu.

Masyarakat Penan yang membuat hadangan tersebut enggan berpindah kerana kerajaan didakwa enggan memenuhi tuntutan pampasan mereka.