Saturday, October 26, 2013

RM38.22 bilion untuk 7 projek pembangunan di Selangor

Ekonomi Selangor akan terus berkembang menerusi tujuh projek pembangunan melibatkan tanah seluas 3,771.81 hektar di seluruh negeri dengan nilai perbangunan kasar dianggarkan berjumlah RM38.22 bilion.
Tujuh projek pembangunan yang melibatkan tanah milik kerajaan dan swasta ini diluluskan Majlis Perancangan Fizikal Negara dan dipengerusikan Perdana Menteri dalam mesyuarat 17 Oktober lalu.
Projek tersebut adalah pembangunan bercampur di Bandar Bukit Raja di Kapar oleh Sime Darby, pembangunan bercampur di Rawang (Kundang Properties), Resort golf 18-lubang di Batang Kali (Mines Gold & City Sdn Bhd), pembangunan bercampur di Beranang, Hulu Selangor (Riverside Hills Sdn Bhd).
Selain itu, projek perumahan dan komersil di Dengkil, Sepang (Tristar Acres Sdn Bhd), projek perumahan di Semenyih, Hulu Langat (UEM Land Berhad) dan pembangunan semula kawasan Institut Penyelidikan Getah Malaysia di Sungai Buloh (Kwasa Ldn Sdn Bhd).
Jabatan Perancangan Bandar dan Desa dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTES) 24 Oktober lalu mengesahkan, sebanyak 85,415 unit rumah akan dibina menerusi projek-projek pembangunan ini untuk didiami oleh 403,700 orang.
Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim yang mempengerusikan mesyuarat mingguan itu berkata, kerajaan negeri akan terlibat secara aktif dalam projek-projek ini kerana ia  memberi kesan besar dan faedah secara langsung kepada rakyat.

Beliau juga mengarahkan kakitangan kerajaan dan agensi negeri memberi kerjasama sepenuhnya kepada agensi Persekutuan yang berkaitan dalam projek-projek pembangunan tersebut.
Menurut Khalid, syarikat air yang akan dilantik kerajaan negeri selepas penstrukturan semula air diselesaikan akan memainkan peranan penting bagi membekalkan air bersih secara cekap sebagai perkhidmatan utama kepada penduduk di kawasan-kawasan baru ini.
“Kerajaan Selangor sangat komited untuk menyelesaikan penyusunan semula industri air dan berharap pengambilalihan ini selesai akhir tahun ini seperti yang ditetapkan oleh menteri.
“Pasukan kami yang merupakan kumpulan profesional yang pakar dan berpengalaman dalam pengurusan air telah bersedia dan tugas mereka yang pertama ialah mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW),” kata Khalid dalam kenyataan dikeluarkan Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar.