Sunday, October 27, 2013

Sentimen anti-Muslim kian meluas di Myanmar

NEW YORK: Keganasan terhadap kaum minoriti Muslim di Myanmar kini menyumbang kepada perasaan anti-Muslim yang lebih luas dan menimbulkan ancaman terhadap pembaharuan ekonomi dan politik di negara itu, kata seorang utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin.

Pemerintah Myanmar menyatakan sekurang-kurangnya 192 orang terbunuh dalam keganasan yang berlaku pada Jun dan Oktober tahun lalu antara puak Muslim Rohingya dengan penganut Buddha Rakhine.

Kebanyakan penduduk Myanmar menganggap kaum Muslim Rohingya sebagai pendatang tanpa izin dari Bangladesh walaupun penduduk kaum itu telah bermastautin di Myanmar sejak beberapa generasi.

Pertempuran antara kedua-dua kaum itu telah menyebabkan berlakunya kekacauan di kawasan lain di Myanmar dan puak Islam lain juga menjadi sasaran, termasuk puak Muslim Kaman, yang berlainan bangsa dengan puak Rohingya.


Sekitar 5 peratus penduduk Myanmar, yang mempunyai 60 juta penduduk, beragama Islam.

"Presiden (Thein Sein) telah membuat beberapa ucapan yang patut dipuji. Beliau telah menekankan perlunya rasa percaya, hormat dan ihsan antara kaum berlainan agama dan bangsa di Myanmar," kata pelapor khas PBB, Encik Tomas Ojea Qunitana, tentang keadaan hak asasi manusia di Myanmar.

"Bagaimanapun, lebih banyak perlu dilakukan oleh pemerintah bagi melindungi kaum yang mudah terjejas dan menangani penyebaran pandangan yang mendiskriminasikan kaum lain," katanya kepada Jawatankuasa Ketiga Perhimpunan Agung PBB, yang menangani isu hak asasi manusia.

Tahun ini, keganasan berterusan di wilayah Rakhine, utara Myanmar, salah satu daerah paling miskin di negara itu dan tempat tinggal sejuta puak Rohingya Muslim yang kebanyakannya tidak bernegara.

Sekitar 140,000 anggota puak Rohingya kini menjadi pelarian akibat keganasan yang disasarkan terhadap kaum itu. - Reuters.