Wednesday, October 23, 2013

Suruhanjaya Pilihan Raya: Kenyataan rasmi DATO SERI ANWAR IBRAHIM

Menuntut Semua Anggota Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Letak Jawatan Kerana Gagal Melaksanakan Tanggungjawab

Semua anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dituntut meletakkan jawatan beramai-ramai atas kegagalan melaksanakan tanggungjawabnya menurut Perlembagaan Persekutuan bagi menjalankan ulangkaji persempadanan.

Perkara 113 (2) dan 113 (3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan ulangkajian bahagian-bahagian pilihanraya dijalankan oleh SPR dengan lat tempoh tidak kurang daripada 8 tahun antara tarikh siapnya ulangkajian yang terdahulu.

Kerajaan mengesahkan persempadanan terdahulu bagi Semenanjung dan Sabah diluluskan pada 21 Mac 2003, manakala Sarawak pada 10 Jun 2005.

Oleh yang demikian, lat tempoh Semenanjung & Sabah berakhir pada 21 Mac 2011 dan sepatutnya ulangkajian masing-masing bermula selepas itu. Kemudian Sarawak seharusnya bermula selepas 10 Jun 2013.


Tuntutan dan tanggungjawab Perlembagaan ini terus terabai. SPR gagal laksanakannya. Ini pengabaian dan kegagalan serius.

Sebelum ini SPR gagal jalankan PRU13 secara adil dan bebas selain berbangkit masalah proses yg pincang kerana isu dakwat yang tak kekal dan daftar pemilih yang tercemar.

Pakatan Rakyat menuntut seluruh anggota SPR meletakkan jawatan atas pengabaian dan kegagalan melaksanakan tanggungjawab Perlembagaan.

DATO SERI ANWAR IBRAHIM
KETUA PEMBANGKANG MALAYSIA



---
BIRO KOMUNIKASI
PARTI KEADILAN RAKYAT
A-1-09, Merchant Square
No. 1, Jalan Tropicana Selatan 1
47410 Petaling Jaya