Monday, November 4, 2013

Ahli Dewan Undangan Negeri: PAS Menang dan kekal, PKR merosot lagi

PAS berjaya mengekalkan kerusi DUN Sungai Limau dengan majoriti kira-kira 1,084 undi - merosot 1,690 undi daripada majoriti pada PRU13 lalu.

Calon PAS, Mohd Azam Abd Samat memperolehi 12,069 undi menakala calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim mendapat 10,985 undi.

Seramai 85.5 peratus (22,642 pemilih) daripada 27,222 pemilih dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) itu menunaikan tanggungjawapnya hari ini.

Sementara itu dalam perkembangan lain di Sabah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Jeremmy Malajad hari ini mengumumkan keluar daripada PKR dan menjadi wakil Bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN).
    
Jeremmy yang juga Ketua Penerangan PKR Sabah berkata perkara itu berkuatkuasa hari ini.
    
Beliau yang disertai oleh kira-kira 50 bekas pemimpin PKR Kadamaian berkata demikian dalam sidang media, di Kuala Belud.
    
Menurutnya keputusan beliau keluar daripada PKR adalah bagi memenuhi harapan rakyat di kawasannya yang mahukan pembangunan.


"Sebagai wakil rakyat yang baru dipilih oleh rakyat, saya sedar tentang harapan tinggi rakyat di kawasan yang saya wakili untuk melihat perubahan dalam bidang pembangunan khususnya kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air bersih, klinik desa dan banyak lagi pembangunan luar bandar yang menjadi isu semasa yang sentiasa dilaung-laungkan masyarakat Kadamaian," katanya.

Jeremmy berkata kejayaan BN menangani pelbagai isu yang dibangkitkan di negeri itu semasa pilihan raya umum ke-13 membuatkan beliau meneliti semula kedudukannya sebagai wakil rakyat PKR.  

"Saya sudah berjanji untuk menjadi wakil rakyat terbaik dalam memberi sumbangan dan khidmat yang diperlukan oleh rakyat, dan saya percaya rakyat di Sabah semakin yakin dengan pendekatan dan kesungguhan kerajaan BN dalam
menyelesaikan isu berbangkit, katanya. 

Sambil menyatakan komitmennya tidak berubah dalam membantu rakyat di kawasannya, Jeremmy berkata beliau mahu terlibat secara langsung bagi merealisasikan pelbagai program transformasi yang dilaksana oleh kerajaan BN.

Dalam pilihan raya umum lepas, Jeremmy memperoleh 5,877 undi berbanding penyandang Timbon@Herbert Langadan daripada BN yang menerima 4,988 undi dalam pertandingan empat penjuru. 

Bernama