Tuesday, November 19, 2013

'Ajaran sesat' Ibrahim Libya: The Star mohon maaf

Akhbar The Star menyiarkan nota permohonan maaf atas tulisan mendakwa Allahyarham Ibrahim Libya dan kumpulan penyokong PAS yang bertempur dengan pasukan keselamatan dalam tragedi Memali pada 1985 sebagai kumpulan ajaran sesat.

Nota permohonan maaf oleh pengarang The Star itu disiarkan bersama dengan kandungan surat oleh Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Khairil Nizam Khirudin yang menjelaskan bahawa Ibrahim dan kumpulan penyokong tersebut tidak seperti yang digambarkan akhbar berkenaan.

Tulisan pada 12 November itu menyenaraikan Ibrahim Libra bersama dengan kes kekerasan melibatkan kumpulan ajaran sesat, termasuk Imam Mahdi, Al-Ma'unah dan Tuhan Harun.


Khairil Nizam dalam tulisan tersebut menjelaskan, Mahkamah Tinggi Alor Setar sendiri telah memerintahkan kerajaan membayar pampasan kepada waris bagi individu yang terkorban dalam tragedi tersebut.

“Jadi bagaimana Allahyarham Ustaz Ibrahim dan pengikutnya boleh dipersalahkan atas tindakan kekerasan apabila kerajaan yang diminta membayar pampasan?,” soalnya.

Tambahnya, satu-satunya fatwa yang dikeluarkan berhubung kes tersebut adalah fatwa oleh Majlis Fatwa Kedah yang berpendapat bahawa kumpulan berkenaan tidak patut digelar sebagai para “syahid”.

Akhbar berkenaan memohon maaf susulan laporan polis yang dibuat oleh ketua Pemuda PAS Pulau Pinang Mohd Yusni Mat Piah, yang juga merupakan anak kepada salah seorang mangsa dalam tragedi berdarah itu.

Yusni berkata laporan berkenaan melukakan perasaan anggota keluarga dan anak-anak mangsa tragedi Memali dan turut merendah-rendahkan reputasi Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdul Halim Muazzam Shah yang pernah menziarahi pusara Ibrahim.