Tuesday, November 5, 2013

'Australia dan Amerika intip Indonesia'

TEMPAT KUMPUL MAKLUMAT?: Seorang kakitangan keselamatan mengangkat tangan menghalang media daripada mengambil gambar di hadapan Kedutaan Australia di Jakarta, Jumaat lalu. - Foto Reuters
SYDNEY: Australia dan Amerika Syarikat melakukan operasi pengawasan bersama di Indonesia semasa persidangan perubahan iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2007, nyata satu laporan semalam.
Pendedahan dalam laporan akhbar The Guardian edisi Australia itu dijangka memburukkan lagi hubungan yang kini tegang antara Australia dengan Jakarta.
Laporan itu menukil dokumen daripada pembocor maklumat risikan Amerika, Encik Edward Snowden, yang menunjukkan bahawa agensi risik Australia, Lembaga Pengarah Isyarat Pertahanan bekerjasama dengan Agensi Keselamatan Nasional (NSA) untuk mengumpul nombor telefon pegawai keselamatan Indonesia.
Hubungan Australia dengan jiran terdekatnya, Indonesia, sudah pun menghadapi tekanan setelah laporan-laporan minggu lalu yang menyatakan misi diplomatik luar negara Canberra terbabit dalam rangkaian pengawasan meluas yang dipimpin Amerika.
Misi-misi Australia di Indonesia, selain kedutaan atau suruhanjaya di China, didakwa digunakan untuk memantau panggilan telefon dan mengumpul data.
Dakwaan itu menyebabkan Jakarta dan Beijing menuntut penjelasan daripada Amerika dan Australia.
Laporan The Guardian itu menyatakan operasi tahun 2007 yang dilakukan semasa persidangan perubahan iklim PBB tidak begitu berjaya dengan satu-satu hasil yang diraih adalah nombor telefon bimbit ketua polis Bali.

Walaupun tidak bergitu berjaya, operasi itu merupakan sesuatu yang sangat memalukan Australia.
Ketika operasi itu berlangsung, Encik Kevin Rudd, baru sahaja dipilih menjadi perdana menteri Australia dan beliau menghadiri persidangan itu atas undangan peribadi Presiden Indonesia, Dr Susilo Bambang Yudhoyono.
Ketika itu, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk mengukuhkan hubungan dua hala.
Dakwaan terbaru itu merupakan satu lagi tamparan ke atas hubungan dua hala antara Indonesia dan Australia, yang sebelum ini tegang akibat dasar tegar Perdana Menteri baru Australia, Encik Tony Abbott, berhubung isu pemohon suaka yang tiba dengan bot dari Indonesia.
Mengulas mengenai rangkaian pengintipan itu minggu lalu, Encik Abbott berkata:
"Setiap agensi kerajaan Australia, setiap pegawai Australia, di dalam atau luar negara, beroperasi mengikut undang-undang dan itu adalah jaminan yang dapat saya berikan kepada mereka yang berada di dalam dan luar negara."
Jumaat lalu, Jakarta telah memanggil duta Australia ke negara itu, Encik Greg Moriarty, supaya memberikan penjelasan, sementara Menteri Luar Indonesia, Encik Marty Natalegawa, menyifatkan kegiatan pengintipan sebagai "sesuatu yang nyata salah", sambil menyatakan pemerintahnya "tentu sekali sangat prihatin". - AFP.