Friday, November 8, 2013

Bahan bukti ditemui: Arafat mati diracun

RAMALLAH: Saintis Switzerland dilaporkan telah menemui bahan bukti yang menunjukkan bahawa Allahyarham Yasser Arafat mungkin diracun dengan bahan radioaktif.
Pegawai Palestin sudah lama menuduh Israel sebagai pihak bertanggungjawab dalam meracuni Allahyarham sehingga membawa kepada kematiannya, namun Israel menafikan tuduhan tersebut.
Allahyarham Arafat meninggal dunia di sebuah hospital tentera di Perancis pada 11 November 2004, selepas sebulan jatuh sakit di kediamannya di Tebing Barat, yang bersempadan dengan Israel.
Doktor Perancis sebelum ini berkata beliau meninggal dunia ekoran serangan angin ahmar.
Stesen televisyen satelit AlJazeera kelmarin melaporkan penemuan kajian itu bakal menjadi bahan bukti dalam penyiasatan ke atas kematian Allahyarham Arafat, yang diusahakan isterinya, Cik Suha.
Tahun lalu, Institut Radiasi Fizik Switzerland menemui bahan polonium-210, satu unsur radioaktif yang terdapat pada beberapa barangan milik Allahyarham Arafat, termasuk pakaiannya.
Ekoran penemuan itu, sampel tanah dan tulang kemudian diambil di kubur Allahyarham Arafat di Tebing Barat untuk kajian tersebut.
Kelmarin, stesen televisyen Al-Jazeera menyiarkan laporan penuh penemuan pasukan saintis Switzerland setebal 108 muka surat itu, berdasarkan sampel tanah dan tulang tersebut.

"Keputusan itu menyokong bahawa kematian tersebut ada kaitan dengan racun daripada bahan polonium-210," kata laporan berkenaan.
Cik Suha memberitahu AlJazeera bahawa beliau sangat terkejut dan sedih dengan penemuan itu.
"Saya tidak mahu menuduh sesiapa, tetapi berapa banyak negara yang mempunyai reaktor atom yang boleh menghasilkan polonium?" tanya beliau.
Israel mempunyai pusat penyelidikan nuklear dan dipercayai mempunyai senjata nuklear meskipun ia tidak pernah mengesahkannya.
Sementara itu, seorang pegawai gerakan Fatah, Encik Abbas Zaki, berkata pihaknya mungkin merujuk kes itu kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
Encik Raanan Gissin, yang merupakan jurucakap pemerintah Israel semasa Allayarham Arafat meninggal dunia, kelmarin sekali lagi menafikan Tel Aviv bertanggungjawab terhadap kematiannya.
"Pemerintah ketika itu telah memutuskan untuk tidak menyentuh Arafat sama sekali," katanya. - AP.