Friday, November 29, 2013

Dato’ Seri Anwar Ibrahim: “HARAPKAN PAGAR, PAGAR MAKAN PADI”

PENYAHSENARAIAN SEMENTARA BERNAS SUATU PENGKHIANATAN KEPADA PARA PESAWAH DAN NELAYAN: “HARAPKAN PAGAR, PAGAR MAKAN PADI”

1.     Kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob (BERNAMA, 26 November 2013), bahawa penyahsenaraian BERNAS adalah bersifat sementara untuk tujuan penstrukturan semula, dan pemberian saham 5% kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan 5% kepada Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) selepas penyenaraian semula telah menimbulkan lebih banyak persoalan yang perlu diperjelaskan.

2.     Perlu diingatkan, Dato’ Ismail juga sebelum ini pernah membuat kenyataan bahawa langkah pembelian gula mentah melalui long term contract pada Januari 2012 untuk tempoh tiga tahun pada harga USD 0.26/lb adalah “satu langkah bijak yang diambil oleh kerajaan” di mana selepas pemeteraian kontrak itu harga gula mentah jatuh merudum ke USD 0.17/lb hingga kini. Hasil ‘kebijaksanaan’ pihaknya, kerajaan kemudiannya menghapuskan subsidi gula yang mengakibatkan harga gula mentah yang tinggi ini terpaksa ditanggung sepenuhnya oleh rakyat sehingga 2014.

3.     Adakah penstrukturan semula ini sekadar bermaksud membahagikan semula pegangan saham-saham BERNAS di antara kroni-kroni kerajaan seperti Batu Bara Resources Corporation Sdn Bhd yang kini memegang 22 juta saham bernilai hampir RM 82 juta?
 

4.     Kerajaan sebagai pemegang  ‘golden share’ di dalam BERNAS perlu memastikan bahawa program penstrukturan semula BERNAS ini dilaksanakan dengan betul kerana ini adalah industri strategik negara yang bakal merugikan rakyat sekiranya tidak diperhalusi sebaiknya. Setakat ini masih belum ada suatu jaminan tegas daripada pihak kerajaan bahawa pegangan saham oleh NAFAS dan NEKMAT tidak akan tergugat akibat penstrukturan semula ini.

5.     Sekiranya benar pegangan NAFAS dan NEKMAT akan dinaikkan kepada 5%, bagaimanakah mereka akan membiayai pembelian saham-saham ini (yang dianggarkan bernilai RM 50 juta) tanpa penambahan bebanan kewangan? Kerajaan juga perlu menerangkan bagaimana ia boleh berpuashati dengan penambahan saham bernilai RM 50 juta sahaja kepada NAFAS dan NEKMAT di mana sekiranya pegangan asal mereka sebanyak 10% setiap satu dikekalkan semenjak penubuhan BERNAS (menerusi pemantauan berterusan pihak kerajaan), sekurang-kurangnya RM 174 juta lagi boleh diagihkan kepada golongan petani dan nelayan ini.

6.     Bagaimana pula pihak kerajaan boleh membenarkan Tan Sri Syed Mokhtar menguasai BERNAS menerusi saham pegangannya yang berjumlah 83.4% dengan nilai RM 1,452 juta (pada RM 3.70 sesaham)? RM 1,452 juta diberikan kepada seorang individu, manakala hanya RM 174 juta dibahagikan kepada lebih 170,000 pesawah padi.

7.     Walaupun NAFAS dan NEKMAT dijanjikan pegangan saham yang sedikit tinggi ketika penyenaraian semula nanti, Tan Sri Syed Mokhtar dan pemegang saham minoriti lain yang mempunyai hubungan dengan kerajaan Barisan Nasional bakal mendapat habuan yang lebih besar hasil penstrukturan semula ini.

8.     Kepentingan para petani dan nelayan jelas dipinggirkan kerajaan, manakala kerakusan individu yang rapat dengan pihak kerajaan terus diutamakan. Inilah pengkhianatan kerajaan yang sepatutnya melindungi kepentingan para petani yang penat membanting tulang bagi memastikan bekalan beras negara ini terjamin. “Harapkan pagar, pagar makan padi

Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat

---

BIRO KOMUNIKASI
PARTI KEADILAN RAKYAT
A-1-09, Merchant Square
No. 1, Jalan Tropicana Selatan 1
47410 Petaling Jaya