Wednesday, November 6, 2013

Karpal Singh celupar

PAS membantah kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh yang meminta parti yang berasaskan kaum dan agama tidak boleh dibenarkan, dan menganggap ianya serius dan membahayakan. 

“PAS sangat kesal dengan kenyataan yang tidak berasas ini, yang memperlihatkan betapa Karpal gagal tidak memahami perjuangan PAS,” tegas Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Justeru, beliau bertanya apakah bahaya perjuangan PAS bagi masyarakat majmuk di Malaysia. 

Beliau menambah, nilailah sendiri kepada PAS yang memerintah Kelantan lebih 23 tahun, Terengganu pada tahun 1999 dan Kedah pada 2008 dari segi perpaduan kaum dan menjaga hak Muslim dan bukan Muslim. 

“Apakah ada golongan bukan Islam yang disisihkan?” tanya Tuan Ibrahim lagi.


Beliau berkata, Karpal sepatutnya mengemukakan fakta bukan mengeluarkan kata-kata mengikut sedap hati.

“Kenyataan begini tidak sepatutnya keluar dari mulut pemimpin Pakatan Rakyat (PR) dalam suasana rakyat menolak BN dan mulai yakin dengan kepimpinan PR,” ujarnya dalam satu kenyataan. 

Menurutnya, Karpal sepatutnya lebih bijak sebelum mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan hubungan baik dalam PR serta sokongan rakyat selama ini. Kenyataan sebegini juga merugikan DAP secara amnya.

Sehubungan itu, kata beliau PAS menyerahkan kepada kepimpinan DAP untuk mengambil tindakan berhubung kenyataan tersebut.

“Di atas nama parti, PAS membantah keras kenyataan beliau,” tegas beliau.