Wednesday, November 27, 2013

Kes Skodeng Melibatkan Tokoh Berprofil Tinggi

Kalau setakat Ramli skodeng Liza, itu kes picisan, tarak hal punya, tapi ini bukan kes skodeng sebarang skodeng. Skodeng ini melibatkan tokoh negara dan berprofil tinggi. Masakan tidak, kerna ini adalah kes skodeng antara dua negara berjiran.
KUALA LUMPUR: Singapura tidak ada niat mengeruhkan hubungan persahabatan dengan Malaysia.
Ini ditekankan oleh Suruhanjaya Tinggi Singapura sambil menafikan yang ia tahu sebarang maklumat tentang tindakan membantu Amerika Syarikat menjalankan pengintipan terhadap negara jiran terdekatnya itu.
Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Encik Ong Keng Yong, dipanggil oleh Kementerian Luar Negara Malaysia dan beliau bertemu dengan setiausaha agung kementerian luar, Datuk Othman Hashim, selama 20 minit tengah hari semalam, lapor akhbar The Straits Times.
Dalam pertemuan itu, Encik Ong menjelaskan bahawa beliau tidak mempunyai maklumat tentang dakwaan media Australia bahawa Singapura membantu menyelaraskan pengintipan Amerika-Australia di rantau ini, termasuk mengintip Malaysia.
Kerajaan Malaysia menyatakan ia kini menyiasat secara "menyeluruh" laporan media terkini tentang penglibatan Singapura dalam dakwaan kegiatan pengintipan itu.
Encik Ong mengesahkan bahawa Singapura menghargai hubungan baiknya bersama Malaysia.

"Kami mempunyai hubungan dua hala yang baik dan bekerjasama rapat dalam banyak perkara yang mempunyai kepentingan bersama," kata Encik Ong semalam.
"Kami tidak berminat melakukan apa-apa yang mungkin memudaratkan rakan kami atau persahabatan antara kedua-dua negara," katanya lagi.
Sementara itu, Dewan Rakyat Malaysia semalam menolak usul Ahli Parlimen (AP) Bukit Katil, Encik Shamsul Iskandar Mohd Akin, bagi membahaskan isu-isu berkaitan pengintipan yang dikatakan dilakukan Amerika, Australia dan Singapura.
Encik Shamsul berkata Dewan Rakyat perlu bertegas dalam memberi tekanan kepada tiga negara tersebut, lapor portal berita The Malaysian Insider.
Speaker Dewan Rakyat, Datuk Pandikar Amin Mulia, berkata usul tersebut tidak perlu disegerakan kerana Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, akan mengambil tindakan ekoran bantahan tersebut.
"Ini soal berkaitan dengan kedaulatan negara, kita tidak mahu dikhianati dengan perkara sebegini," kata Encik Shamsul dalam sidang media selepas itu.