Sunday, November 17, 2013

Najib Ke Bangladesh

COLOMBO (Sri Lanka), 17 Nov -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berlepas ke Bangladesh selepas menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) di Sri Lanka.

Lawatan rasmi sulung Perdana Menteri ke Bangladesh itu adalah atas undangan rakan sejawatannya, Sheikh Hasina, ketika kedua-duanya mengadakan pertemuan di New York baru-baru ini.

Beliau diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dan delegasi 62 orang termasuk Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman serta dan Duta Khas Malaysia di Asia Selatan Datuk Seri S.Samy Vellu.

Perdana Menteri akan turut mengunjungi Presiden Bangladesh Md Abdul Hamid, dan mereka difahamkan akan membincangkan beberapa perkara termasuk isu rakyat negara itu yang bekerja di Malaysia.


Sementara itu, Rosmah mempunyai atur cara berasingan termasuk merasmikan sambutan ulang tahun ke-8 Projek Cacat Bibir dan Tekak iaitu projek usaha sama antara Hospital Komuniti Dhaka dan Mercy Malaysia.

Najib turut dijadual melawat tugu peringatan pejuang kemerdekaan Bangladesh di Savar dan Muzium Peringatan Bangabandhu.

Perdana Menteri dijangka pulang ke tanah air pada Selasa.

-- BERNAMA