Sunday, November 3, 2013

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau: Berapa ramai akan keluar mengundi?

Lebih 90 peratus daripada 27,222 pengundi berdaftar bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dijangka keluar mengundi esok berbanding 89 peratus pada Pilihan Raya Umum ke-13.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, kadar peratusan yang positif itu berdasarkan kepada semangat yang dilihat sepanjang tempoh berkempen yang berkonsepkan kekeluargaan.
"Kempen PRK DUN Sungai Limau lebih mesra keluarga, tenang dan aman.
Peningkatan kadar mengundi adalah kerana semangat setia kawan dan kekeluargaan," katanya kepada pemberita selepas menyemak peti dan peralatan undi, di Dewan Dato' Madi, di sini hari ini.
Abdul Ghani berkata, daripada 27,222 pengundi, tiga daripadanya ialah undi pos membabitkan seorang pelajar di Mesir dan dua orang yang bekerja masing-masing di Permatang Pauh dan Sabah.
Katanya, sebanyak 499 pegawai SPR, 116 anggota polis serta 58 ketua tempat mengundi (KTM) terlibat semasa hari pengundian esok, yang membabitkan 58 saluran dan 17 tempat mengundi. - Bernama