Friday, November 1, 2013

Rakyat Malaysia akan dikategorikan sebagai ‘Muda dan Miskin’ pada tahun 2030

Ramalan Bank Amerika Merrill Lynch, rakyat Malaysia akan dikategorikan sebagai ‘Muda dan Miskin’ pada tahun 2030 kelak.

BAYANGKAN tahun 2023 – mungkin sedekad sahaja lagi tapi kalau tidak dikawal dengan hati-hati, mampu memperlihatkan harga secawan teh tarik bernilai RM6.25; iaitu 5 kali ganda harga sekarang. Malangnya, gaji purata tetap malar pada kadar RM2,900 sebulan.

Ramalan Bank Amerika Merrill Lynch, rakyat Malaysia akan dikategorikan sebagai ‘Muda dan Miskin’ pada tahun 2030 kelak.

Senario sebegini – di mana harga barangan yang tinggi diganding gaji yang tetap rendah bakal menjadi realiti anak-anak kita – hakikat barang naik bakal menghantui kehidupan kita seharian.
Bagaimana pula harga rumah? Garis panduan Bank Dunia meletakkan harga rumah sepatutnya berada kira-kira 5 kali ganda berbanding pendapatan purata tahunan.

Pada ketika ini, harga rumah di Malaysia berada kira-kira 8 kali ganda berbanding pendapatan purata tahunan. Sekiranya perkara ini dibiarkan terus meningkat, anak-anak kita mungkin tidak akan mampu memiliki rumah mereka sendiri masa akan datang.

Harga kereta mencecah 40 kali gaji purata berbanding 20 kali hari ini. Ditambah dengan harga petrol, tol dan parkir, memiliki sebuah kereta hanya impian. Nampaknya anak-anak terpaksa meminjam kereta kita untuk ke sana sini.

Harga makanan, bil elektrik dan harga barangan harian melambung memerlukan anak kita menggunakan kad kredit dengan kadar faedah bulanan tinggi, itu pun kalau layak memohon. Ketika ini hutang isi rumah antara tertinggi di Asia pada RM770 bilion iaitu 83% KDNK.

Realiti ini bakal dialami majoriti anak-anak kita terutamanya anak-anak Melayu.

Tetapi ada segelintir kecil anak-anak Melayu atasan selesa hidup mewah hasil usaha ibu bapa elit yang ahli atau penyokong kuat sebuah parti politik. Golongan ini hanya 0.1% orang Melayu dan selebihnya 99.9% tetap bergantung kepada BR1M dan subsidi; itu pun jika kewangan negara 10 tahun mendatang masih mampu. Bagaimana ini berlaku?

Situasi ‘Jurang Kemiskinan’ atau lebih tepat ‘Jurang Kemiskinan Melayu’ diukur dengan indeks kemiskinan GINI 0.43 antara yang tertinggi di dunia. Statistik menunjukkan golongan berpendapatan paling rendah di kalangan 40 peratus isi rumah terbawah adalah Melayu walaupun 56 tahun merdeka.
Namun negara kaya dengan sumber asli seperti balak dan minyak. Petronas menyumbang RM732 bilion kepada kerajaan semenjak 1974. Dari 1999, bajet kerajaan sentiasa defisit sehingga hutang rasmi dan tidak rasmi kerajaan mencecah lebih 65 peratus KDNK pada RM630 bilion; ke mana dan siapa mendapat manfaat daripada semua ini?

Jika dilihat siapa memandu kereta-kereta mewah berharga 20 kali harga rumah teres atau membeli banglo mewah berharga RM7 juta bersamaan 200 buah rumah projek perumahan rakyat; memakai cincin, beg tangan, perhiasan atau fesyen berjenama; barulah kita faham ke mana perginya RM1,300 bilion atau RM1.3 trilion.

Melihat proses pilihan raya yang nyata memenangkan pihak tertentu dan laporan Ketua Audit Negara maka punca ‘Jurang Kemiskinan Melayu’ sudah terang lagi bersuluh adalah mereka yang bertopengkan fahaman kebangsaan yang dipesongkan.

Oleh demikian bagaimana masa depan anak kita dapat diselamatkan?

Jawapannya jelas; kita mesti bangkit menuntut perubahan melalui reformasi. Ini adalah tuntutan ‘haq’ dan mesti dijadikan jihad demi masa depan anak kita.

Kita wajib menuntut reformasi demokrasi bermula dengan proses pilihan raya telus dan adil; reformasi sistem Parlimen melalui penubuhan jawatankuasa tetap memantau semua kementerian termasuk penggubalan dasar dan akta-akta, hak meratifikasikan perjanjian antarabangsa agar kedaulatan negara tidak tergadai serta peluang mengusulkan perundangan oleh pembangkang agar prinsip pemisahan kuasa untuk fungsi timbang-tara pentadbiran berjalan lancar.

Kita wajib menuntut reformasi ekonomi dengan memberhentikan ketirisan akibat rasuah dan melaksanakan dasar-dasar ekonomi saksama di mana persaingan sihat menurunkan harga rumah, kenderaan dan barangan sara hidup.

Kita wajib menuntut reformasi pendidikan bermula dengan tidak mempolitikkan pendidikan dan meningkatkan mutu pembelajaran secara serius dan radikal.

Tumpuan kepada kaedah berfikir dengan kreativiti dalam sukatan, peningkatan kualiti kemahiran guru-guru serta peningkatan suasana pembelajaran di sekolah-sekolah melalui prasarana taraf dunia dengan penggunaan teknologi terkini mesti disegerakan.

Demi anak-anak kita, marilah kita bersatu menuntut reformasi segera dibincangkan. Hakikatnya kita semua satu Malaysia yang inklusif bukan eksklusif untuk golongan 0.1% sahaja. Ingatlah 10 tahun bukan masa yang panjang. - Nurul Izzah Anwar