Friday, November 8, 2013

Twitter dapat kumpul AS$1.82b melalui IPO

SYARIKAT Twitter Inc telah mengumpulkan AS$1.82 bilion ($2.26 bilion) menerusi Tawaran Awam Awal (IPO), menandakan permintaan pelabur yang kukuh bagi penawaran saham yang dinantikan selepas Facebook itu.
Ini setelah ia menaikkan harga sesahamnya kepada AS$26, jauh lebih tinggi daripada harga asal yang diusulkan iaitu AS$17 hingga AS$20.
Facebook pula menawarkan saham IPOnya pada harga AS$38 sesaham tahun lalu.
Kelmarin, Twitter menjual 70 juta saham pada harga AS$26 di samping pilihan untuk membeli lagi 10.5 juta saham.
Jika kesemua saham terjual, IPO itu akan mengumpulkan sebanyak AS$2.09 bilion, menjadikan ia IPO terbesar firma Internet sejak Facebook mengumpul AS$16 bilion tahun lalu.
Pada harga itu, nilai Twitter adalah 28 kali daripada nilai pendapatan 2013 yang dijangkakan, iaitu AS$650 juta berdasarkan kadar pertumbuhannya sekarang.

Ini berbanding dengan saham Facebook yang didagangkan pada harga 16 kali daripada ramalan pendapatannya bagi tahun ini.
Para pengamat meramalkan penjualan nilai Twitter pada tahun depan akan mencecah AS$1.14 bilion, menurut Bloomberg semalam.
Harga yang tinggi itu juga memberikan tekanan kepada Twitter, yang mula didagangkan di Bursa Saham New York semalam, untuk menunaikan janjinya bagi mencapai pertumbuhan pantas.
Ketua Pegawai Eksekutif Twitter, Encik Dick Costolo, telah memancing minat pelabur dalam trend penjualan pesat Twitter - yang menyaksikan pendapatannya meningkat berganda setiap tahun - meskipun ia tidak memiliki laluan yang jelas untuk meraih keuntungan.