Tuesday, December 17, 2013

Peringatan buat rakyat: Walau bagaimana teruk keadaan ekonomi negara, ahli politik tetap senang dan mewah

Bulan lepas bertali-arus para pemimpin Umno BN mengkritik kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dan Pulau Pinang kerna mengumumkan kenaikan gaji ahli Dewan Undangan Negeri dua negeri tersebut. Kini kerajaan Umno BN pula berhajat untuk menaikkan gaji dan alaun para ahli parlimen, senantor dan pak menteri mereka.

Peringatan buat rakyat: Walau bagaimana teruk keadaan ekonomi negara, ekonomi para ahli politik tetap tidak akan terjejas. Sebelum mereka bantu rakyat, mereka kenyangkan perut mereka dahulu. Politik cari makan.


Kajian Kenaikan Gaji Dan Elaun Anggota Parlimen, Senator Dibentangkan Tahun Depan

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Kajian mengenai pelarasan dan kenaikan gaji dan elaun Anggota Parlimen dan senator dijangka dibentangkan tahun depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Beliau berkata kajian itu merangkumi semua aspek termasuk ekonomi dan keadaan semasa.

Menurutnya pada masa ini, gaji termasuk elaun yang diterima penggubal undang-undang negara ialah RM6,000, yang dianggap rendah jika dibanding dengan negara lain.

"Contohnya, di Kemboja dan Thailand, MP (Anggota Parlimen) mereka terima elaun sebulan sehingga US$4,000 (RM12,000). Kita juga tewas kepada lawmakers (penggubal undang-undang) di Uganda yang menerima kira-kira US$2,500 (RM7,000)," katanya ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2014 di Dewan Negara di sini, hari ini.

Beliau berkata sepatutnya kenaikan gaji dan elaun di peringkat pusat menjadi contoh kepada kerajaan negeri tetapi keadaan sebaliknya berlaku apabila kerajaan negeri mengumumkan kadar baharu gaji dan elaun anggota Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Kita hairan apabila ada kerajaan negeri yang telah mendahului kerajaan pusat dalam hal ini. Ini memalukan," kata Shahidan yang melihat situasi itu seperti melanggar etika Parlimen.

Bulan lepas, DUN Selangor meluluskan kenaikan gaji menteri besar, exco, speaker, timbalan speaker dan ADUN negeri itu berkuat kuasa 1 Jan depan.

Kerajaan Pulau Pinang kemudian turut mengusulkan cadangan kenaikan gaji ADUN mereka daripada RM4,112.79 kepada RM6,000.

-- BERNAMA