Tuesday, December 3, 2013

Pulau Batu Puteh: Gani Patail dicabar buat laporan polis

Ahli Parlimen DAP Puchong, Gobind Singh Deo mencabar Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail membuat laporan polis berhubung dakwaan salah laku beliau berhubung kes Pulau Batu Puteh.
Beliau merujuk kenyataan bersumpah bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim yang antaranya menyatakan pasukan Malaysia diketuai Abdul Gani memberi bukti palsu kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi kes itu.
Gobind berkata, umum mengetahui bahawa membuat kenyataan palsu dalam akuan bersumpah adalah kesalahan jenayah yang membawa hukuman berat.
“Abdul Gani tidak boleh hanya berdiam diri. Beliau perlu membuat laporan polis agar kandungan akuan bersumpah dan dakwaan yang dibuat terhadapnya disiasat sepenuhnya.

“Sebagai Peguam Negara, beliau perlu anggap perkara itu adalah berkenaan kepentingan awam. Maka, adalah menjadi tugasnya untuk buat laporan polis bagi menjaga imej serta kehormatannya sebagai Peguam Negara,” katanya lagi.
Akuan bersumpah yang dibuat pada 7 November lalu itu juga meminta kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat punca kehilangan pulau itu ke tangan Singapura, walaupun lebih hampir dengan Malaysia.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga sebelum ini dilaporkan berkata, beliau tidak berpuas hati dengan Abdul Gani dan mendakwa beliau menyembunyikan beberapa perkara mengenai kes itu. – Roketkini