Sunday, December 15, 2013

Skuad Hoki Wanita Negara Cipta Rekod Dunia Di Sukan SEA

YANGON, 14 Dis (Bernama) -- Malaysia mencipta rekod dunia dalam sukan hoki apabila skuad wanita negara membelasah Kemboja 36-0 pada perlawanan kedua pusingan awal dalam temasya Sukan SEA ke-27 di sini Sabtu.

Skuad negara menjaringkan gol pada setiap purata dua minit dengan 18 gol pada babak pertama dan mengulangi jaringan sama pada babak kedua pada perlawanan selama 70 minit.

Sebelum ini, rekod jaringan paling besar dipegang oleh Argentina apabila menumpaskan Peru 26-0 pada Kejohanan Wanita Amerika Selatan di Santiago, Chile, pada 23 Mac 2003.

Semalam, Thailand menyamakan rekod itu dengan mengalahkan Kemboja 26-0.

Pada perlawanan di Stadium Hoki Theinphyu di sini, Noor Hasliza Md Ali muncul sebagai penjaring terbanyak perlawanan dengan enam gol pada minit ke-14, 25', 42', 43', 62' dan minit ke-64.

Fazillah Sylbester Silin turut menyumbang lima gol pada minit ke-15, 31' 35' 55' dan 60', Nobaili Hashim empat gol (16', 30', 39', 65'), Norazlin Sumantri empat gol (12', 21', 25', 60').

Kapten pasukan Nadia Abd Rahman menjaringkan dua gol iaitu pada minit kelima dan 51'; Norhidayah Bokhari (21', 28'); Rabiatul Adawiyah Mohamed (40', 55').

Lima gol lain masing-masing menerusi Norashikin Halim pada minit ke-46, Nurul Nabila Mansur (23'), Raja Norsharina Raja Shabuddin (18'), Surizan Awang Noh (52') dan Siti Nuramira Rohani melabuhkan tirai jaringan pada minit ke-70.

Pasukan negara turut menerima satu gol menerusi jaringan sendiri pemain Kemboja.

Jurulatih negara Mohd Nasihin Nublin Ibrahim berkata kemenangan besar skuad negara itu merupakan satu kejutan dan pemanas badan sebelum menentang Singapura, Thailand dan Indonesia pada perlawanan seterusnya.

"Saya tahu skuad akan menang tetapi tidak menjangka dengan kemenangan sebesar ini...mereka perlu mengekalkan permainan yang mudah dan pantas pada perlawanan seterusnya nanti," katanya.

Selepas ini skuad negara, selaku juara bertahan akan menentang Singapura pada Isnin ini kemudian Thailand, pada hari berikutnya dan melengkapkan jadual pusingan awal dengan menentang Indonesia, Khamis ini.

-- BERNAMA