Tuesday, January 28, 2014

Prk N25 Kajang: Antara Anwar, Azmin, Faekah dan Khalid Ibrahim, ombak dan badai mesti diharungi jua

Secara peribadi Kerajaan Rakyat amat tidak bersetuju kaedah (kemungkinan) penyingkiran Tan Sri Khalid Ibrahim daripada jawatan menteri besar Selangor melalui pengunduran ADUN Kajang, Lee Chin Cheh bagi membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di N25 Kajang dalam pilihanraya kecil akan datang.

Kemelutan dalaman politik KeADILan di Selangor yang melibatkan Azmin Ali, Faekah dan Tan Sri Khalid tidak sewajarnya mengorbankan wang dan masa rakyat Selangor dengan mengadakan pilihanraya kecil!!

Walau apapun percaturan politik dengan alasan menambahbaik suasana politik kepartian, kepentingan, dana dan masa rakyat terbanyak tidak harus dikesampingkan.

Kemelutan politik PKR / KeADILan Selangor bukan berpunca daripada Tan Sri Khalid, sebaliknya bersumbukan kepada keghairahan segelintir individu peringkat pimpinan pusat dan sayap KeADILan Selangor itu sendiri yang terlalu buas untuk mendapatkan sumber kewangan negeri demi politik peribadi mereka.

Perahu telah diluncur; ombak, badai mesti diharungi jua. Kerajaan Rakyat mengambil sikap berlapang dada dalam isu kekalutan politk Selangor dan mendoakan agar Anwar beroleh kejayaan cemerlang di N25 Kajang demi kesejahteraan rakyat yang diimpikannya.

Kerajaan Rakyat yakin Anwar melakukannya dalam keterpaksaan mendesak demi kelangsungan politik KeADILan seluruhnya.