Saturday, February 15, 2014

Alamak.. Mahathir kata: PKR bukan Parti Keadilan tetapi Parti KeanwaRan

PUTRAJAYA - Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memainkan peranan penting menjayakan Op Lalang pada 1987 menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Sambil menafikan tuduhan Anwar bahawa beliau bertanggungjawab sepenuhnya dalam operasi yang menyaksikan 108 pemimpin politik dan aktivis ditahan, Dr Mahathir berkata sebagai seorang anggota Kabinet ketika itu, Anwar perlu bertanggungjawab.

"..kecuali kalau beliau berkata, saya meletak jawatan kerana tidak bersetuju. Dia tidak pernah berkata seperti itu. Beliau setuju, sokong semua termasuk ISA," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar pemikiran Kassim Ahmad "Suatu Penilaian" anjuran Jawatankuasa Sahabat Pena Pak Kassim di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.


Dr Mahathir juga menyifatkan Ketua Umum PKR itu sebagai 'ahli putar belit' dan bukan pemikir ideal, dan PKR ditubuhkan semata-mata untuk mencapai cita-citanya.

Katanya, Anwar sentiasa mempotretkan dirinya sebagai manusia yang tidak pernah bersalah dan berdosa, demi kepentingan peribadi dan karier politik. 

"Dia punya parti itu bukan Parti Keadilan tetapi Parti KeAnwaran, semuanya untuk Anwar dan keluarga dia, bukan untuk bangsa, agama dan lain-lain. Malah bukan untuk ideologi.

"Dia memang ahli putar belit, ahli (parti) menafikan apa yang dia kata dulu dan memberi imej baharu seolah-olah dia ini tak pernah berdosa, tak pernah salah dan selalunya betul. Kalau Anwar betul, hari ini dia jadi Perdana Menteri," kata Dr Mahathir.

Beliau berkata Anwar mempunyai kemahiran untuk mempengaruhi orang ramai dengan cara berilmiah, tetapi pada hakikatnya beliau bukan seorang pemikir atau pemimpin yang boleh memimpin negara ini.

"Dia bukan pemikir, tetapi dia pandai berpidato. Dia pandai bercakap untuk meyakinkan orang tentang kebenaran dirinya. Orang yang menggunakan perkataan untuk kepentingan, bukan  menggunakan perkataan untuk kebenaran. Inilah Anwar.

"Bila dia cakap, bunyi cukup baik. Sehingga saya pun yakin. Dia menggunakan akal fikirannya untuk memutar belit dengan cara berilmiah," katanya. - Bernama