Saturday, February 1, 2014

Jawatan MB Hanya Dibincang Selepas PRK Kajang

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali berkata, parti itu hanya akan membincangkan kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor dengan PAS selepas pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.
Ketika ditemui selepas beliau menunaikan solat di Masjid Qariah Batu 10 di sini, Azmin bagaimanapun berkata, PAS telah bersetuju untuk membantu mendapatkan sokongan bagi calon PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Ramai pemimpin PAS termasuk (Setiausaha PAS negeri) Khairuddin Osman dan Ahli Parlimen PAS-Hulu Langat, Che Rosli Che Mat menunjukkan sokongan mereka kepada kami.

"Saya juga mengadakan mesyuarat ringkas dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan akan bertemu pengerusi DAP Selangor, Tony Pua. Kami juga akan mempunyai siri perbincangan untuk mengukuhkan jentera kita di kajang," katanya.
Ditanya sama ada perbincangan mereka menyentuh mengenai kedudukan Menteri Besar, Azmin yang juga Ketua PKR negeri berkata, "Tidak apa-apa lebih dari itu."
"Kita akan lihat (apa yang berlaku) selepas itu. Kita mahu memastikan Anwar dan Pakatan memperoleh majoriti yang lebih besar dalam pilihan raya kecil ini. Itu yang akan menjadi tumpuan kita sekarang," katanya.