Saturday, February 15, 2014

Macam hendak perang: Askar Sultan Johor, Timbalan Setia Negeri (TSN) masuk Stadium Larkin

Macam hendak perang: Askar Sultan Johor, Timbalan Setia Negeri (TSN) sudah mula masuk Stadium Larkin.

Harap-harap askar Timbalan Setia Negeri (TSN) tidak buat kacau malam ini. Susah betul nak bersukan di Johor, askar sultan pun datang dengan trak askar macam nak berperang..!!

Pertandingan Liga Super hanya akan berlangsung sekitar jam lapan malam nanti, tetapi askar Timbalan Setia Negeri (TSN) yang dikuasai oleh Sultan Johor telah pun mula memasuki kawasan Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos Larkin, Johor Bahru, tempat di mana pertandingan tersebut akan diadakan.

Malam ini di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos Larkin, Johor Bahru, skuad Harimau Selatan - Johor Darul Ta’zim (JDT) akan berdepan dengan Selangor pada saingan Liga Super.


Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Cesar Ferrando Jimenez berkata, “Saya yakin semua pemain boleh melakukan yang terbaik setelah memperoleh momentum baharu selepas berjaya mengalahkan Kedah dalam saingan suku akhir pertama Piala FA, Selasa lalu.

“Saya akan pastikan semua pemain boleh mengawal perlawanan untuk menang lagi di gelanggang sendiri, walaupun tanpa Aidil dan Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) yang mengalami kecederaan,” katanya kepada pemberita selepas menjalani latihan di Padang Sri Gelam, di sini, semalam.

Dalam empat perlawanan di saingan Liga Super, skuad Harimau Selatan menduduki tempat ke-10 dengan mengutip empat mata hasil daripada satu kemenangan, satu seri dan dua kekalahan.

Manakala Selangor pula berjaya mengutip sembilan mata hasil daripada tiga kemenangan dan satu seri.

Dijangkakan, perlawanan malam ini berlangsung sengit di mana JDT akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengekalkan momentum dan hanya kemenangan yang akan meningkatkan moral pemain.

Sementara itu, pemain pertahanan JDT, Baihakki Khaizan berkata, keserasian antara semua pemain sudah mula menampakkan hasil selepas memenangi perlawanan bertemu Kedah, Selasa lalu.

Menurutnya, ‘mood’ kegembiraan dan kebahagiaan serta keceriaan hasil kejayaan itu menjadi faktor penting yang perlu dibawa ke depan untuk bertemu pasukan Selangor yang dianggap perlawanan penting.

“Esok (malam ini) ‘game’ yang penting kerana kita baharu habis Piala FA dan bermula lagi Liga Super yang kita tahu kita berada dalam kedudukan agak tidak memuaskan. Kita kena baiki kedudukan ke tangga lebih selesa.

“Saya harapkan rakan sepasukan bermain dengan sepenuh hati dan sepenuh jiwa.

"Insya-ALLAH dengan hasil kerja keras dan semangat berpasukan yang semakin baik, saya rasa kemenangan itu milik kita,” katanya.