Saturday, March 15, 2014

Bintang kuning gergasi ditemui

PARIS - Ahli astronomi menemui bintang kuning gergasi di dalam galaksi Bima Sakti dan didakwa berukuran 1,300 kali ganda lebih besar dari matahari.

Menurut saintis di Observatoire de la Cote d'Azur di Nice, bintang HR 5171 A yang disenaraikan sebagai 10 bintang gergasi itu juga adalah sejuta kali ganda lebih terang daripada matahari.

"Walaupun terletak hampir 12,000 tahun cahaya dari bumi, objek tersebut masih dapat dilihat dengan mata kasar. Kedudukan bintang berkembar itu sangat rapat dan ia seakan menyentuh seluruh sistem serta menyerupai seperti kacang gergasi," kata Olivier Chesneau kepada AFP.

Kumpulan saintis tersebut menganggarkan, HR 5171 A adalah 50 peratus lebih besar dari bintang merah gergasi Betelgeuse.

Difahamkan, penemuan bintang gergasi baharu itu dibuat menggunakan Very Large Telescope Interferometer (VLTI) di Balai Pencerap Eropah Selatan di Paranal di Chile.