Saturday, March 15, 2014

MH370: Lebih 200 umat Islam Pattani solat hajat

PATTANI - Semalam lebih daripada 200 orang umat Islam di sini melakukan solat hajat di Masjid Jamek untuk penumpang dan anak kapal pesawatMH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.
    
Turut hadir Mohammad Shaharul MD Osman, Konsul Malaysia di Songkhla.
    
Pihak masjid turut menyediakan kain rentang untuk masyarakat Islam meluahkan rasa hati mereka berhubung insiden itu.
    
Imam Abdul Razak Wangsoh berkata solat hajat itu sebagai menunjukkan umat Islam di Pattani berkongsi perasaan keluh kesah yang dirasai rakyat Malaysia, dan tidak ada cara lain bagi mereka membantu selain berdoa.
   


Beliau mengucapkan simpati kepada anggota keluarga penumpang dan kru di samping menasihati mereka supaya bersabar.
    
"Ini adalah takdir daripada ALLAH yang manusia semua tak mahu, tetapi dengan kehendak Allah, ia boleh berlaku bila-bila masa," katanya.
    
Kehilangan pesawat turut ditimbulkan dalam khutbah Jumaat di masjid itu.
    
Khatibnya berkata sebagai umat Islam dan berjiran dengan Malaysia, umat Islam Pattani turut bersimpati dengan kejadian itu. - Bernama