Wednesday, July 30, 2014

Anwar jamin Pakatan Rakyat tak berpecah

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Pakatan Rakyat tidak menunjukkan tanda-tanda yang ia akan berpecah susulan kengganan PAS untuk menukar menteri besar Selangor.

Menurutnya, komunikasi di antara beliau dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang masih terbuka dan beliau turut mengirim ucapan "Selamat Hari Raya" kepada Hadi dan mendoakan kesihatannya.

Anwar bagaimana pun mengakui akan wujudnya salah faham di kalangan parti Pakatan Rakyat dalam isu penukaran MB Selangor.

Salah faham itu itu termasuklah "ulasan kurang sesuai daripada peringkat bawahan", kata Anwar sewaktu ditemui di Permatang Nibong, Seberang Jaya.

Jelasnya, beliau enggan melayan sentimen dan beberapa tuduhan dari akar umbi kerana setahunya, beliau berkeyakinan penuh dengan polisi kepimpinan Pakatan Rakyat.

Tiba masanya nanti, kata Anwar, pemimpin-pemimpin dari DAP, PAS dan PKR akan sedar betapa pentingnya kerjasama di antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

Kesedaran itu kata Anwar, akan mendorong mereka bekerjasama dengan lebih jauh lagi seperti dilakukan selama ini.