Thursday, July 31, 2014

Jawatan Menteri Besar: Wan Azizah sudah bersedia atau Anwar tidak sabar?

Dalam keadaan Parti Keadilan Rakyat yang semakin bercelaru akibat kerakusan beberapa pemimpin kanan dan pimpinan peringkat cabang pada pemilihan parti tersebut, saya kira suami kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat sudah tidak sabar untuk melihat isterinya menjadi Menteri Besar Selangor. 

Pada hemat saya, Anwar telah berjaya mengalihkan masalah partinya, menjadi masalah Pakatan Rakyat! Sebenarnya yang bercelaru dan berebut inginkan dana negeri yang telah berjaya dimantapkan oleh Tan Sri Khalid adalah pemimpin PKR, malangnya yang menjadi mangsa adalah ahli-ahli dan penyokong serta rakyat Selangor seluruhnya!

Slogan PKR mungkin: Semasa pilihan raya, "Kita akan tampilkan pemimpin yang berkebolehan dan beretika". Sesudah pilihan raya dan setelah diberi mandat, "Kita inginkan dana negeri untuk menggerakkan jentera parti!". Nampak gayanya macam tidak banyak bedanya antara Parti Keadilan Rakyat dan Umno. Kededuanya jenis hendak kuasa demi kepentingan peribadi!

Cerdik Anwar.. satu penggal dia beri Khalid untuk cari dana, bila dana sudah banyak.. dia menyanyi ini.. !!

Berikut adalah laporan BERNAMA:

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini melahirkan kesediaannya memegang jawatan Menteri Besar Selangor.

Anggota Dewan Undangan negeri Kajang itu berkata beliau akan menurut keputusan dan amanah parti berhubung perkara itu. PKR telah memutuskan supaya Wan Azizah menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar.

Wan Azizah berkata jawatan itu adalah satu tanggungjawab yang berat dan menganggap ia sebagai satu ujian.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis tahlil dan sumbangan zakat kepada anak yatim bersama suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim di Masjid Permatang Nibong di Butterworth hari Rabu.

Sementara itu, Anwar berkata PKR telah memutuskan untuk menggantikan Abdul Khalid tetapi beliau mahu mengekalkan jawatannya kerana beranggapan mendapat sokongan pihak tertentu.

Ketika ditanya tentang sokongan PAS terhadap Abdul Khalid, Anwar berkata beliau akan berbincang dengan pemimpin PAS tetapi setakat ini tiada petunjuk bahawa parti itu akan keluar daripada Pakatan Rakyat disebabkan isu itu.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyuarakan sokongan mereka kepada Abdul Khalid dengan berkata bahawa beliau perlu terus menyandang jawatan Menteri Besar Selangor hingga berakhirnya penggal sekarang.

-- BERNAMA