Friday, July 18, 2014

Malapetaka buat Malaysia: Selepas MH370 hilang, kini MH17 ditembak jatuh

Selepas MH370 hilang, kini MH17 ditembak jatuh

Selepas pesawat MAS MH370 hilang April lalu, kini pesawat MAS MH17 pula dilaporkan ditembak jatuh di Ukraine dekat sempadan Rusia, lapor agensi berita lewat malam ini.

Malaysia Airlines mengesahkan pasukannya terputus hubungan dengan pesawat MH17.

Sementara itu, laporan Reuters yang memetik laporan agensi berita Interfax menyebut, pesawat itu membawa 295 penumpang dan anak kapal dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Menurut Reuters yang memetik kenyataan sumber penerbangan di Moscow menyebut, pesawat itu ditemui terbakar di permukaan tanah di timur Ukraine.

Al-Jazeera pula melaporkan, Malaysia Airlines mengesahkan kejadian itu dan dijangka akan mengeluarkan satu kenyataan tidak lama lagi.

Menurut Al-Jazeera, pesawat terlibat dipercayai pesawat Boeing 777 dengan nombor penerbangan MH17, yang berlepas dari Amsterdam pada jam 2.14 pagi waktu tempatan.

Ia dijangka tiba di Kuala Lumpur pada kira-kira jam 6 pagi.



Laporan itu juga menyebut, ia mungkin terhempas di kawasan yang menyaksikan pertempuran sengit antara Rusia dan Ukraine.

Menurut Interfax, pesawat itu terhempas hanya 50 km selepas memasuki ruang udara Rusia.

Laporan yang memetik sumber keselamatan Ukraine yang tidak dinamakan itu menyebut, pesawat itu hilang dari radar ketika berada di ketinggian 10,000 meter.

Ia disyaki terhempas dekat bandar Shakhtyorsk.