Saturday, August 16, 2014

Berbanding Abdul Khalid, Wan Azizah tiada langsung pengalaman mentadbir

Berbanding Abdul Khalid, Wan Azizah tiada langsung pengalaman mentadbir

Mampukah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, isteri Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim melaksanakan tugas, tanggungjawab serta amanah sebagai Menteri Besar Selangor?

Persoalan ini disuarakan penganalisis dan pemerhati politik yang sangsi dengan keupayaan Anggota Dewan Undangan Negeri Kajang itu untuk memikul tugas menerajui Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa Dr Wan Azizah pernah mempermainkan kepercayaan rakyat apabila presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu meletak jawatan sebagai Anggota Parlimen Permatang Pauh pada 31 Julai 2008 bagi memberi laluan kepada suaminya bertanding dalam pilihan raya kecil kawasan itu pada 26 Ogos 2008.

"Dalam pentadbiran parti (PKR) itu sendiri, corak kepimpinan parti beliau dipengaruhi 'pihak ketiga' dan bukan ideanya," kata Tun Faisal ketika ditemui selepas wawancara Ruang Bicara terbitan Bernama TV, baru-baru ini.

Oleh itu, kata beliau rakyat, terutamanya warga Selangor, perlu berfikir secara matang dalam menilai kemelut politik yang melanda negeri itu, termasuk perebutan jawatan menteri besar.

Beliau berpendapat Abdul Khalid lebih berkemampuan mentadbir Selangor berdasarkan rekod pentadbirannya sejak lebih lima tahun lepas, lebih-lebih lagi apabila kini beliau terus mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menduduki jawatan itu.

"Berbanding Abdul Khalid, Dr Wan Azizah tiada langsung pengalaman mentadbir," katanya.

Beliau berkata Abdul Khalid juga seorang pemimpin yang lebih mengutamakan rakyat daripada parti dan perkara ini terbukti dalam isu air di Selangor apabila bersetuju bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (LRAL2).

Projek LRAL 2 yang merupakan langkah kerajaan Persekutuan untuk selesaikan masalah kekurangan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya telah tertangguh sejak 2008.

Sementara itu, anggota Panel Pemikir Jasa Lokman Noor Adam sependapat dengan Tun Faisal bahawa Abdul Khalid adalah pemimpin yang komited dalam menjaga kepentingan rakyat berbanding kepentingan parti.

"Isu air di Selangor misalnya, telah menonjolkan Tan Sri Khalid sebagai pemimpin yang lebih mengutamakan rakyat berbanding parti," katanya.

"Beliau adalah seorang yang berani untuk melanggar arahan parti bila mana kepentingan rakyat diperjudikan," katanya.

Senada dengan pandangan itu, Dekan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, urusan mentadbir sebuah negeri lebih kompleks berbanding mentadbir sebuah parti.

Katanya sebagai negeri yang pesat membangun, Selangor memerlukan seorang pentadbir yang mahir dan berpengalaman luas dalam pelbagai aspek, termasuk kewangan, organisasi dan kemanusiaan.

"Pentadbiran sesebuah negeri melibatkan perancangan yang teliti kerana ada aspek pembangunan, belanjawan dan hubungan dengan pelabur luar.

"Malahan, kalau diteliti sejarah politik Dr Wan Azizah, beliau sendiri bukan sukarela berada dalam politik, sebaliknya menjadi calon atas faktor yang tidak dapat dielakkan, bukan atas kemampuan atau kemahuan sendiri, jadi bagaimana pula beliau mahu mentadbir sesuatu yang lebih besar (negeri)?," soalnya.

Ahmad Marthada bagaimanapun menegaskan gender tidak sesekali menjadi persoalan dalam krisis ini kerana seseorang pemimpin itu dipilih berlandaskan kemampuan dan kebijaksanaannya.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Sains Malaysia Dr Sivamurugam Pandian pula berkata kemampuan Dr Wan Azizah menerajui Selangor sebagai Menteri Besar bukan sahaja diragui pihak lain, malah rakan sekutu PKR sendiri iaitu PAS.

"Berdasarkan kepada keterangan Dr Wan Azizah sebelum ini, beliau sendiri  mengakui belum bersedia untuk tadbir Selangor, apatah lagi banyak isu perlu ditangani.

"Barangkali, itu juga menjadi halangan kepada PAS untuk menolak Dr Wan Azizah. Lebih baik mengekalkan calon sedia ada atau calon lain yang dirasakan mampu menjalankan tanggungjawab menteri besar dengan lebih berkesan," katanya.

Isnin lepas, Sultan Sharafuddin memberi perkenan kepada Abdul Khalid untuk kekal sebagai Menteri Besar selepas dipecat sebagai anggota PKR.

Bernama