Sunday, August 10, 2014

Dewan diraja Selangor bincang isu MB

Majlis Dewan Diraja Selangor akan membincangkan kedudukan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim esok.

Khalid berkata, sebuah mesyuarat akan diadakan oleh badan itu di Istana Kayangan esok bagi membincangkan perkara itu ekoran pemecatan Khalid oleh PKR semalam.


Khalid juga berkata beliau “dinasihatkan” peguamnya untuk tidak membuat kenyataan lanjut berhubung perkara itu.

Khalid hari ini bertemu dengan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di masjid negeri di Shah Alam untuk merasmikan kursus haji peringkat negeri.

Selepas acara itu beliau memberitahu pemberita akan mengadap sultan esok selepas majlis berbincang bagi menentukan pendirian istana dalam isu itu.

Khalid tidak menunjukkan tanda-tanda akan merayu terhadap keputusan PKR.

Katanya, keutamaannya sekarang untuk berkhidmat kepada negeri sebagai menteri besar.

Sementara itu, Khalid dalam kenyataannya hari ini mengulangi pendiriannya yang menerima keputusan PKR itu “walaupun tindakan itu salah dan tidak menurut undang-undang serta bertentangan dengan perlembagaan parti”.

“Saya juga akan meneruskan tugasan sebagai menteri besar seperti biasa dan dinasihati untuk tidak membuat apa-apa kenyataan sehingga satu mesyuarat Majlis Dewan Diraja Selangor yang telah ditetapkan pada hari Isnin, 11 Ogos 2014,” katanya.