Friday, August 29, 2014

Kemungkinan besar 6 PRK peringkat Parlimen

Pendakwaan mahkamah terhadap lima pemimpin Pakatan Rakyat (PR) termasuk Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Padang Serai N Surendran hari ini menandakan bermulanya era pemerintahan kuku besi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.
Lim berkata, penangkapan dan pendakwaan terpilih yang semakin kerap terhadap pimpinan PR, termasuk ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menjelang sambutan Merdeka ke-57 pada 31 Ogos ini menandakan lahirnya Despotisme Baru dalam landskap politik negara.
Beliau tidak menolak kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Kecil (PRK) jika wakil rakyat PR didapati bersalah dan hilang kelayakan mereka.
"Jika kerajaan Barisan Nasional (BN) berjaya bukan sekadar menyabitkan, malah dengan hukuman denda lebih RM2,000 dan penjara setahun yang membatalkan kelayakan sebagai wakil rakyat, ia bermakna lima PRK peringkat Parlimen bakal diadakan, iaitu Seputeh, Batu, Pandan, Padang Serai dan Shah Alam dan dua PRK peringkat DUN – Seri Delima dan Changkat Jering.
"Jika kita menyertakan kemungkinan PRK di Permatang Pauh, iaitu kalau Anwar gagal dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan pada 28 dan 29 Oktober ini, maka kita melihat kepada kemungkinan besar 6 PRK peringkat Parlimen yang berpunca daripada siri terbaru tangkapan dan pendakwaan terhadap pimpinan Pakatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rafizi didakwa dengan tuduhan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana membuat kenyataan fitnah dan provokasi terhadap ahli Umno.

Manakala Surendran dikenakan dakwaan mengikut Akta Hasutan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan pembebasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila membuat kenyataan rayuan kes Liwat II adalah konspirasi politik yang melibatkan Putrajaya, dakwaan kedua yang dikenakan terhadapnya dalam tempoh dua minggu.
Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad pula semalam didakwa mengikut Akta Hasutan kerana kenyataan yang dibuat terhadap Sultan Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais), dan Adun Seri Delima RSN Rayer didakwa dengan dua tuduhan hasutan ekoran kenyataan "Umno celaka" yang dibuatnya Mei lalu.
Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada PAS, turut didakwa awal minggu ini kerana memfitnah Najib dalam ucapannya dua tahun lalu.
Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dan Ahli Parlimen Batu Chua Tian Chang pula masih dalam proses perbicaraan mengikut Akta Hasutan.
Lim berkata, ini adalah kemuncak ironi kerana Najib pada Julai 2012 memansuhkan Akta Hasutan sebagai sebahagian daripada Program Transformasi Kerajaan (GTP) untuk menjadikan Malaysia sebagai “negara demokrasi terbaik di dunia."
Namun hakikatnya menurut Lim, Najib mencipta rekod baru menggunakan akta itu terhadap ahli Parlimen dan Adun, malah pencapaian beliau mengatasi 22 tahun "zaman gelap" di bawah pemerintahan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Lima ahli parlimen (termasuk Karpal Singh) dan seorang Adun didakwa kerana menghasut sepanjang enam tahun pentadbiran Najib.
"Sedangkan sepanjang 22 tahun pemerintahan Mahathir hanya seorang ahli Parlimen yang didakwa, dipenjara, dan digugurkan kelayakannya, iaitu (Setiausaha Agung DAP) Lim Guan Eng," katanya.
Katanya, ketika itu Dr Mahathir "dibantu" Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang terkenal dengan tahanan tanpa bicara, namun ia bukanlah alasan untuk memulakan zaman kuku besi baru di bawah kepimpinan Najib.
Beliau berkata, kebebasan demokrasi akan terjejas jika Akta Hasutan dan undang-undang lain yang tidak demokratik dan menindas digunakan sebagai senjata.
"Bukan sahaja Najib dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang perlu dipertanggungjawabkan atas era kuku besi baru, tetapi seluruh menteri kabinet dan pemimpin parti komponen BN harus dipertanggungjawabkan," katanya.
Beliau turut memberi amaran kepada pengamal kuasa eksekutif dan kehakiman supaya menjauhkan diri daripada melakukan tindakan yang menyebabkan kemerosotan demokrasi.
"Jika tidak, mereka boleh dianggap bersubahat melahirkan era pemerintahan kuku besi baru di Malaysia," katanya. – 28 Ogos, 2014. - MI