Wednesday, August 27, 2014

Kumpulan Pertama Jemaah Haji Berlepas Ke Tanah Suci

SEPANG, 27 Ogos -- Kumpulan pertama sebanyak 256 imam dan pengerusi jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung (JKKK) menerusi Program Khas Haji Perdana Menteri-Yayasan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berlepas ke tanah suci pagi ini bagi menunaikan haji.

Penerbangan KT 2 menerusi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH8000 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 9 pagi dan dijangka tiba di Madinah pada pukul 12.50 tengah hari waktu tempatan (5 petang waktu Malaysia).

Menurut Pengerusi Program Khas Haji Perdana Menteri-Yayasan 1MDB Datuk Jailani Ngah, bagi program tahun ini sebanyak 1,000 jemaah telah dipilih dari seluruh negara.

"Untuk tahun ini terdapat tiga penerbangan dan pagi ini adalah yang pertama, sementara yang kedua pada awal pagi esok dan yang ketiga pada awal pagi Jumaat," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Beliau berkata jemaah akan berada di tanah suci selama 45 hari untuk menunaikan ibadah umrah serta haji dan penerbangan pertama yang akan membawa mereka pulang ke tanah air ialah pada 11 Okt.

Seorang jemaah Muhammad Ismail Sajiman, 29, Imam Masjid Kampung Murni Jaya, Kulaijaya, Johor, bersyukur dan gembira kerana dapat menunaikan fardu haji di usia yang masih muda.

"Terima kasih kepada perdana menteri dan kerajaan atas keprihatinan kepada kami imam dan ketua kampung semoga Allah membalas jasa baik mereka semua," katanya.

Perasaan yang sama turut dikongsi Imam Masjid Ikhwanul Islam, Kuching, Abdul Talib Mahadi, 52, yang bersyukur dan amat terharu dengan peluang yang diberikan kepadanya.

"Sepatutnya ikut kuota, saya akan tunaikan haji pada tahun 2037 tetapi disebabkan rezeki, saya berpeluang tunaikan haji lebih awal dan terima kasih kepada kerajaan," katanya.

Bapa kepada empat orang anak ini berkata beliau akan turut mendoakan kesejahteraan rakyat dan negara supaya mendapat rahmat serta keberkatan dari yang maha esa.

Bagi Ketua Kampung di Kapit, Sarawak, Abang Hamzah Abang Bolhasan, 63, turut bersyukur kerana impiannya selama ini untuk menunaikan fardu haji akhirnya tercapai.

-- BERNAMA