Wednesday, August 20, 2014

Pakatan Rakyat punca krisis, kekecohan dan ketidaktenteraman politik Selangor

Pakatan Rakyat punca krisis, 
kekecohan dan ketidaktenteraman politik Selangor 

12 NGO bersatu pertahan Khalid Ibrahim

Sekumpulan 12 NGO mewakili rakyat Selangor hari ini melancarkan gerakan untuk mempertahankan pentadbiran Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim sehingga penggalnya berakhir.

Kumpulan NGO itu mengutuk tindakan Pakatan Rakyat yang didakwa mereka menjadi punca krisis, kekecohan dan ketidaktenteraman politik di negeri itu ketika ini.

Mereka turut mengumumkan bakal mengadakan program antaranya himpunan aman, menghantar memorandum serta acara keagamaan sehingga malam merdeka bagi menyampaikan mesej kepada semua pihak, dari Istana hingga ke jalan raya.

Seramai 30 wakil NGO hadir antaranya dari Persatuan Anak Selangor Menyokong Menteri Besar (PASMEB), Gerakan Anak Bugis Selangor (GRABS), Angkatan Rakyat Sedar (ARAS) dan beberapa lagi NGO wakili pelbagai golongan masyarakat.

Mereka melancarkan Gerakan Kebangkitan Rakyat Selangor di Pusat Rekreasi Antan Bantura di Shah Alam hari ini.

Dalam sidang medianya, Pengerusi Penaja GRABS, Faisal Idris berkata rakyat di negeri itu mempersoal mengapa Khalid yang juga ADUN Pelabuhan Klang perlu ditukar.



"Saya tanya mengapa nak tukar pemimpin yang baik? PAS sendiri pun mengakui Khalid pemimpin yang baik.

"Ini pengkhianatan. Langkah Kajang bukan saja satu pengkhianatan kepada rakyat Malaysia tetapi negeri Selangor," katanya.

Sementara Pengerusi ARAS Abdul Rahim Abdul Wahab pula berkata negara, Pakatan Rakyat dan negeri Selangor akan mengalami kerugian dan berdepan impak negatif jika Khalid ditolak sebegitu rupa.

Beliau berkata Pakatan Rakyat perlu mengambil pemimpin yang benar-benar berjiwa rakyat dan mendatangkan manfaat kepada rakyat Selangor.

"Setelah kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih (pada 2008), Khalid bawa banyak perubahan bukan saja dari segi material, tetapi lebih penting perubahan pendekatan politik.

"Dari pandangan saya, Khalid tak perlu diganti. Seharusnya beliau habiskan penggal ini sebagai menteri besar dan sediakan penggantinya selepas ini," kata Abdul Rahim.