Monday, August 4, 2014

Tan Sri Khalid Ibrahim mungkin akan dipecat sebagai ahli PKR

Tan Sri Khalid Ibrahim mungkin akan dipecat sebagai ahli PKR sekiranya beliau masih enggan melepaskan jawatannya sebagai menteri besar Selangor.

Menurut sumber parti, kemungkinan untuk memecat Khalid telah dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik PKR di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya malam tadi.

"Walaupun kami melihat perkara ini salah satu cara untuk membuatkan Khalid mengosongkan jawatan itu, tetapi ia akan memburukkan imej parti," kata sumber dalaman yang enggan namanya disebut.

Bagaimanapun, ketika ditanya berhubung perkara itu, Setiausaha Agung Datuk Saifuddin Nasution Ismail memberitahu bahawa tiada perkataan "pecat" disebut dalam minit mesyuarat biro itu malam tadi.

"Saya setiausaha agung tak ada perkataan sack (pecat) pun semalam," katanya.


Ditanya tentang  tindakan disiplin yang mungkin dikenakan, beliau hanya menjawab: "Kita bincang pelbagai perkara menyentuh tentang isu ini”.
Terus diasak sama ada terdapat perbincangan berhubung tindakan disiplin selepas sidang media,  Saifuddin berkata: 
"Kita bincang semua senario. Khalid pakai dua jaket, iaitu ahli parti dan menteri besar yang mendapat mandat dari parti."

Keengganan Khalid untuk memenuhi permintaan PKR supaya berundur daripada jawatan menteri besar mengecewakan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kelihatan bingung dengan situasi itu.

Ini kerana, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan sokongan terhadap Khalid dan meminta beliau mengekalkan jawatannya.

Pendirian pemimpin PAS itu turut memungkinkan berlakunya 'perpecahan' Pakatan Rakyat walaupun Anwar sebelum ini telah menolak dakwaan itu bahawa tidak ada tanda-tanda perpecahan dan semua pihak komited terhadap semangat kerjasama Pakatan.