Wednesday, September 10, 2014

PKR Pengkhianat Dalam Pakatan Rakyat

PKR Pengkhianat Dalam Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR: PKR juga merupakan pengkhianat terhadap setiakawan PAS dalam Pakatan Rakyat, kata Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Nik Abduh berkata, tindakan PKR mengiktiraf sokongan dua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS, Shaari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) terhadap Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor yang baharu merupakan satu pengkhianatan.

Katanya, pengkhianatan yang didakwa banyak pihak dilakukan oleh PAS sebenarnya bermula apabila Shaari dan Hasnul  bekerjasama memberi sokongan kepada Presiden PKR.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu menjelaskan, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertindak sendirian apabila partinya dikhianati dari dalam oleh ahlinya sendiri dan dikhianati dari luar oleh rakan sendiri.

"Anda sedang melihat apa yang sedang bergolak di dalam PAS sekarang. Ia sememangnya bermula daripada kisah pengkhianatan 2 ADUN ini.

"Anda juga sedang melihat -akibat pengkhianatan PKR-  pergolakan dalam PR akibat PAS kehilangan taruhan kuasanya di dalam menentukan kelangsungan kerajaan TSKI (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) yang Majlis Syura Ulama PAS putuskan untuk mempertahankannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Akibat pengkhianatan yang berlaku itu, Nik Abduh menjelaskan Abdul Hadi mempunyai dua pilihan iaitu mendorong PAS keluar dari Pakatan Rakyat atau bertindak dengan lebih budiman dengan memberi peluang agar mampu memperbaiki keadaan.

"Bersikap dan bertindak lebih budiman dengan memberi peluang dan masa agar mampu memperbaiki keadaan dan memulihkan dalaman PAS dan hubungan dengan PKR dan PR," katanya lagi.

BERIKUT KENYATAAN PENUH NIK MOHAMAD ABDUH

Siapa Pengkhianat?

Presiden PAS dituduh khianati PR kerana namakan calon MB daripada PAS.

Mari amati kisah pengkhianatan. Hakikatnya, pengkhianatan lebih awal bermula daripada 2 gerangan yang saling berkerja sama;

1) 2 pengkhianat daripada ADUN PAS yang melompat memberi sokongan kepada PKR. Ia memulakan kerosakan kepada kestabilan dalaman PAS.

2) Pengkhianatan PKR terhadap setiakawan dengan PAS dalam PR apabila menerima pengkhianatan 2 ADUN PAS dengan mengiktiraf sokongan mereka kepada PKR.

Sebagaimana 2 ADUN itu memutuskan wala' dan kesetiaannya kepada presiden, begitu juga PKR telah memutuskan kesetiakawanannya dengan PAS.

Siapa pun yang menginsafi, dia akan memahami apakah tindakan yang perlu dilakukan oleh presiden PAS apabila;

1) Partinya dikhianati dari dalam oleh ahlinya sendiri.

Anda sedang melihat apa yang sedang bergolak di dalam PAS sekarang. Ia sememangnya bermula daripada kisah pengkhianatan 2 ADUN ini.

2) Partinya dikhianati dari luar oleh rakan sendiri.

Anda juga sedang melihat -akibat pengkhianatan PKR-  pergolakan dalam PR akibat PAS kehilangan taruhan kuasanya di

dalam menentukan kelangsungan kerajaan TSKI yang Majlis Syura Ulama PAS putuskan untuk mempertahankannya.

Apa pilihan yang harus dilakukan presiden? Ada 2 pilihan;

1) Terus bertindak drastik dan keras dengan mendorong parti PAS ke arah keluar daripada PR. Pengkhianatan, daripada sudut hukum, semestinya menjadi faktor utama pembatalan Tahaluf Siyasi.

2) Bersikap dan bertindak lebih budiman dengan memberi peluang dan masa agar mampu memperbaiki keadaan dan memulihkan dalaman PAS dan hubungan dengan PKR dan PR.

Presiden telah memilih pilihan kedua.

Tindakan itu telah menerima pujian awam apabila PAS  melalui mesyuarat 17/8/14, memutuskan bersetuju memberikan sokongan sementara kepada TSKI (Ini pastinya dilihat bercanggah dengan keputusan asal MSU dan mengejutkan pihak yang menyokong TSKI) dan mengemukakan 2 nama calon MB baru, termasuk WAWI (yang juga dilihat bercanggah dengan keputusan asal MSU).

Lihat, alangkah berjiwa besarnya presiden. Beliau mampu mempengaruhi MSU agar menerima hakikat PR perlu diselamatkan.

Malang tak berbau!

Keputusan 'emas' itu hanya mampu bertahan 5 jam!

Petangnya, tanpa kehadiran presiden PAS, mesyuarat PR memutuskan hanya satu nama akan dipersembahkan kepada istana iaitu WAWI. Alasan penarikan diri Azmin Ali adalah menarik dan diterima.

Di sinilah bermula PAS dilabel sebagai parti U-Turn oleh BN.

Presiden kini berhadapan 2 kemelut yang tiba-tiba;

1) Kegagalan wakil PAS ke mesyuarat PR yang diketuai Timbalan Presiden untuk mengembalikan semula keputusan penarikan diri Azmin Ali ke meja mesyuarat PAS. Menghantar hanya satu nama ke istana bukan sama sekali RUH keputusan mesyuarat PAS yang telah menetapkan 2 nama.

Ia bermaksud presiden berhadapan situasi kritikan dalaman yang tajam akibat keputusan yang lemah dalam mesyuarat PR.

2) Ketegangan dengan pihak istana yang memberi isyarat awal penolakan terhadap pencalonan WAWI. Tambahan pula, istana masih memberi sokongan padu kepada TSKI.

Menjaga hubungan dengan pihak istana adalah polisi PAS yang diterima masyarakat awam yang mahukan keharmonian di antara institusi kuasa diwujudkan.

Apa pula yang presiden harus lakukan selepas badai hanya mampu bertenang sekadar 5 jam?

Ya, presiden terus dengan sikap budiman. Beliau menerima hakikat bahawa kelemahan adalah daripada dalam partinya sendiri. Beliau segera ke Kota Bharu, bertemu Mursyidul Am untuk bergagah dengan nilai budimannya itu pada kekuatan suara putus daripada ketua MSU. Mursyidul Am telah memberi sokongan padu.

Keadaan mendung tidak berakhir dengan hari yang kembali cerah, malah kilat dan petir mula bersambaran. Tiba-tiba isu SD timbul.

13 ADUN PAS diasak oleh PKR agar menanda tangani SD menyokong WAWI sebagai Menteri Besar baru. Ia menimbulkan ketegangan dan kekeruhan yang bertambah di dalam dan di luar PAS.

Presiden mesti bertindak dan mestilah segera!

Mesyuarat PAS pada 25/8/14 keluar dengan keputusan baru yang mengejutkan. PAS memutuskan tidak menghantar sebarang nama dan menyerahkan kebijaksanaan memutuskan isu MB kepada pihak Istana.

Mesyuarat itu dilaporkan kemudiannya bahawa presiden menggunakan kata putusnya sendiri dan dilapor tidak menerima pandangan majoriti ahli.

Daripada pelabelan awal oleh BN, rakan PR mula turut menamakan PAS sebagai parti U-Turn!

PAS mula dipermainkan rakan-rakann sendiri.

Kemudian, apabila istana membuat keputusan meminta setiap parti menghantar lebih 2 nama, PR terus gagal untuk bersatu.

Malah, kemelut dipanaskan dengan isu presiden PAS mengajak Azmin Ali belot terhadap partinya. Walaupun dinafikan, api itu enggan dipadamkan dan sengaja dibiarkan.

Sekarang, mari kita lihat;

1) Adakah PKR melihat dan memuliakan sikap toleransi yang tinggi itu daripada presiden PAS? Tidak bukan?

2) Adakah anda melihat sebarang usaha pengenduran daripada PKR di dalam mengurangkan ketegangan dengan PAS? Tidak bukan?

3) Adakah tindakan budiman presiden PAS berjaya meredakan ketidakpuasan beberapa pemimpin PAS yang terus mengkritik beliau, malah terus memuja pengkhianatan 2 ADUN itu? Tidak bukan?

4) Adakah dalam tempoh tu, DAP sebagai rakan PR berusaha memberi sedikit nafas kepada kestabilan PR? Tidak bukan?

5) Adakah situasi ini berjaya memikat pihak istana untuk menerima penyelesaian daripada dalaman PR? Tidak bukan?

Jadi, siapakah yang memulakan pengkhianatan dan siapakah yang meneruskannya?

Mari melihat kesimpulan saya..

Hari ini, anda melihat apa yang pernah saya tulis sebelum ini bahawa PAS atau presiden PAS telah sampai ke tahap toleransi tertinggi. Selepasnya, jika tidak disambut baik, maka toleransi berakhir dan presiden PAS akan mula bertindak..

Saksikan..

Presiden putuskan bahawa PKR dan DAP tidak perlu lagi diajak berunding.. no more

Presiden putuskan untuk menangani isu dalaman PAS dengan caranya sendiri.. juga, no more

Akhir daripada saya, jika semalam anda melihat intimnya hubungan beberapa pemimpin PAS dengan rakan PKR dan DAP untuk mematikan langkah presiden sendiri, hari ini pula anda sedang melihat para ulama dan pencinta kepimpinan ulama sedang bersahutan dan bertautan menyokong tindakan baru presiden PAS.

Dan anda telah pun tahu apa sikap saya dan di mana saya. Saya enggan mengelirukan..

Selamat bertarung di 'KuborMove'.. Jumpa di sana.

Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz
AJK PAS PUSAT.