Thursday, October 9, 2014

Elaun MP RM6,500 adalah antara yang paling rendah di dunia

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju dengan cadangan kenaikan gaji anggota Dewan Rakyat.

Bagaimanapun beliau menegaskan kenaikan itu harus dilakukan dengan kadar yang rendah dan munasabah kerana ia sudah lama tidak dinaikkan.

"Saya menunggu cadangan daripada kerajaan, dan pada dasarnya kita setuju kalau kenaikan itu pada tahap yang rendah dan munasabah," kata beliau kepada kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim mendedahkan bahawa ketua pembangkang Anwar telahpun bersetuju dengan cadangan untuk menaikkan gaji para MP.

Shahidan berkata elaun MP yang sekarang ini berjumlah kira-kira RM6,500 adalah antara yang paling rendah di dunia.

Anwar berkata beliau sebelum ini menolak cadangan tersebut pada 2012 kerana kenaikan itu terlalu mendadak dan tinggi.

"Dulu saya telah membuat kenyataan menolak kerana kenaikan itu agak mendadak.

Tetapi oleh kerana cadangan dan bertahun tiada kenaikan, kita bersetuju tetapi dengan kadar yang kita anggap munasabah," kata beliau.