Saturday, October 4, 2014

Semoga Allahyarhamah Tun Suhailah mendapat husnul khatimah dan ruhnya ditempatkan di syurga.

Al Fatihah. 
Semoga Allahyarhamah mendapat husnul khatimah dan ruhnya ditempatkan di syurga.

Balu kepada Perdana Menteri Malaysia ketiga Tun Hussein Onn dan ibu kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin, Tun Suhailah Mohamad Noah, 82, meninggal dunia kira-kira 12.30 pagi Sabtu.

Menurut kenyataan Pejabat Menteri Pertahanan, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar KPJ Damansara, Petaling Jaya dan akan dibawa ke rumah keluarganya di Bukit Tunku, di sini.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa orang ramai boleh menziarahi jenazah Allahyarham di No 19, Jalan Changkat Tunku, Bukit Tunku, di sini bermula pukul 9 pagi.

Menurut kenyataan itu, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Negara pada 12 tengah hari sebelum dikebumikan di Makam Pahlawan.

Solat jenazah akan diadakan selepas solat Zohor.

Allahyarham dilahirkan pada 24 Okt 1931 meninggalkan tiga anak perempuan dan dua anak lelaki termasuk Hishammuddin.

Allahyarham sebelum ini pernah menerima anugerah Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran 'Tun' - Kerajaan Persekutuan (1990) dan Anugerah Sri Kandi daripada Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM).

Tun Hussein meninggal dunia pada 29 Mei 1990 di San Francisco, Amerika Syarikat kerana serangan sakit jantung.

-- BERNAMA