Monday, November 17, 2014

Saya sedia dah. Penjara itu sudah sebati dengan saya

KUALA LUMPUR 13 NOV : Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaannya untuk dirujuk kepada Peraturan Mesyuarat 36 (12) dan 80A kerana tuduhan mengelirukan Dewan berkenaan isu Syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Semalam, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan ketika mengadakan sidang media di lobi Parlimen memaklumkan bahawa, Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berhasrat untuk membawa Ahli Parlimen Permatang Pauh itu kepada Jawatankuasa Dewan.
Selain Anwar, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua juga akan dibawa kepada jawatankuasa itu kerana kerap membangkitkan isu 1MDB ketika Dewan bersidang.
Menurut Anwar yang juga Ketua Pembangkang itu, beliau tidak bimbang dengan segala kemungkinan yang akan dikenakan terhadap beliau sekaligus bersedia untuk dirujuk kepada jawatankuasa berkenaan.
“Saya sedia dah. Kad kuning atau penjara itu sudah sebati dengan saya,” sindirnya ringkas ketika mengadakan sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Sementara itu, bagi Tony Pua, beliau mengingatkan Ahmad Maslan bahawa, tindakan mengemukakan usul untuk merujuk beliau kepada sidang Dewan itu akan digunakannya untuk membentangkan bukti relevan berkenaan skandal 1MDB.
“Saya mengalu-alukan sebarang usaha dari wakil BN untuk memfailkan usul ke atas saya dengan dakwaan bahawa saya mengelirukan Dewan.
“Usul itu adalah usaha untuk mendiamkan saya dalam isu hutang 1MDB,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen.