Wednesday, December 24, 2014

Banjir: Jumlah Mangsa Terus Meningkat Tengah Hari Ini

Banjir: Jumlah Mangsa Terus Meningkat Tengah Hari Ini
24 Disember 2014 -- Jumlah mangsa banjir di kebanyakan negeri yang terjejas terus meningkat dengan keseluruhan 62,836 penduduk telah dipindahkan sehingga tengah hari ini, berbanding 58,705 pagi tadi.

Di KELANTAN jumlah mangsa banjir kini mencecah 26,137 orang berbanding 24,765 yang dicatat pagi tadi.

Menurut portal banjir kerajaan negeri, mereka yang dipindahkan membabitkan sebanyak 7,468 buah keluarga yang ditempatkan di 117 pusat pemindahan berbanding 7,493 keluarga di 114 pusat sebelumnya.

Jajahan paling teruk terjejas ialah Gua Musang membabitkan 6,947 penduduk dipindahkan, meningkat 1,688 orang berbanding pagi tadi.



Peningkatan jumlah mangsa banjir turut dicatatkan di Tanah Merah (801), Kota Baharu (276), Jeli (557) dan Machang (178).

Di jajahan Pasir Mas jumlah mangsa sedikit menurun kepada 7,776 orang berbanding 8,754 pagi tadi. Penurunan turut direkodkan di Tumpat dengan kini 3,794 mangsa masih berada di pusat pemindahan berbanding 4,146 pagi tadi.

Sementara mangsa banjir di Pasir Puteh kekal 602 orang.

Di TERENGGANU 720 orang lagi penduduk dipindahkan menjadikan jumlah keseluruhan mangsa banjir kepada 22,326 orang berbanding 21,606 pagi tadi.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, Kemaman mencatatkan jumlah mangsa tertinggi 13,039 orang diikuti Dungun (4,971), Kuala Terengganu (3,082) orang, Hulu Terengganu (685), Besut (426), Marang (115) dan Setiu (lapan), kesemuanya ditempatkan di 116 pusat pemindahan.

Di KUANTAN situasi banjir semakin buruk menyebabkan angka penduduk yang dipindahkan bertambah kepada 12,832 orang berbanding 10,825 orang pagi tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, daerah Kuantan mencatatkan jumlah mangsa banjir paling banyak iaitu 6,231 orang daripada 1,689 keluarga yang ditempatkan di 31 pusat pemindahan.

"Di Maran 2,542 telah dipindahkan, Jerantut(2,513), Lipis (703), Pekan (553) Rompin (268), Temerloh (14) dan Bera (lapan)," katanya.

Di PERAK jumlah mangsa banjir di daerah Hulu Perak dan Kuala Kangsar tidak berubah iaitu seramai 1,030 orang dari 252 keluarga yang masih ditempatkan di 17 pusat pemindahan banjir setakat tengah hari ini.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Perak, Jasimi Zeniol Abdin ketika ditemui di Kuala Kangsar berkata seramai 823 mangsa berada di 10 pusat pemindahan banjir manakala di Hulu Perak seramai 207 mangsa berada di tujuh pusat pemindahan.

Di SABAH, keadaan banjir di daerah Beaufort yang terletak kira-kira 97 kilometer dari bandar raya Kota KInabalu, bertambah baik selepas kesemua mangsa di pusat pemindahan akan dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing petang ini.

Pegawai Daerah Beaufort Mohd Shaid Othman berkata kesemua 336 mangsa dari 128 keluarga yang ditempatkan di Dewan Masyarakat Baru akan dibenarkan pulang selepas pukul 2 petang ini.

"Air mulai surut sejak pagi tadi, kesemua mangsa dari sembilan buah kampung akan dibenarkan pulang, namun kita masih memantau situasi banjir termasuk akan membuka pusat pemindahan di Kampung Suasa sekiranya kawasan berkenaan dinaiki air," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, jurucakap bilik gerakan banjir daerah berkata kesemua jalan-jalan di kampung terjejas banjir telah dibuka kepada semua kenderaan sejak pagi tadi.

Di PERLIS pula, walaupun keadaan banjir tidak menunjukkan perubahan ketara, tetapi terdapat peningkatan jumlah mangsa yang dipindahkan daripada 143 orang pagi tadi kepada 175 orang tengah hari ini.

-- BERNAMA