Wednesday, December 24, 2014

BANJIR: Lebih 5,000 penduduk Sungai Lembing terputus hubungan

KUANTAN: Lebih 5,000 penduduk di Sungai Lembing terperangkap setelah tiga jalan utama yang menghubungkan kawasan pelancongan itu dengan bandar Kuantan ditenggelami air sehingga 1.5 meter pada jarak 200 hingga 400 meter sejak tengah hari semalam.

Ketua Balai Polis Sungai Lembing, Sarjan Mejar Arshad Yacob, berkata tiga jalan terbabit ialah Jalan Sungai Lembing-Kuantan (Simpang Tiga Panching), KM31 Jalan Sungai Lembing-Kuantan dan Jalan Kampung Nadak.

"Jalan berkenaan jalan ditutup kepada semua jenis kenderaan menyebabkan penduduk terputus hubungan untuk keluar mendapatkan barangan keperluan di Kuantan.

"Jumlah mangsa banjir yang masih ditempatkan di pusat pemindahan banjir Balai Polis Sungai Lembing setakat ini ialah 10 mangsa daripada dua keluarga," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.



Penghulu Kampung Ulu Kuantan, Roslan Amat, berkata Pekan Sungai Lembing mulai dinaiki air tengah hari semalam sebelum surut jam 3 petang, namun kembali dinaiki air 4 petang sehingga mencecah paras dada pada tengah malam semalam.

"Walaupun terputus hubungan, namun bekalan barangan makanan setakat ini masih mencukupi untuk dua hari bagi penduduk yang terperangkap di Sungai Lembing.

"Pada masa yang sama kita telah pun menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat meminta bekalan," katanya.

Sementara itu, pengusaha chalet pelancongan Time Capsule, Young Yeong Leong, 56, berkata dua pelanggannya turut terperangkap di Pekan Sungai Lembing dan beliau sendiri tidak dapat menghantar bekalan makanan sejak semalam.

"Saya difahamkan 30 pengunjung dan pelancong di sebuah chalet lain juga terperangkap," katanya.

- BERNAMA