Tuesday, January 20, 2015

KUMPULAN SYARIKAT “SRC INTERNATIONAL” DITUBUHKAN SEBAGAI ANAK SYARIKAT 1MDB

Ekoran dari kenyataan media saya mengenai hutang RM4 bilion yang diambil oleh sebuah anak syarikat 1MDB, saya telah menjangkakan bahawa 1MDB akan membuat kenyataan bahawa SRC International tidak ada kena mengena dengan 1MDB kerana ia (SRC International) kini adalah anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Kenyataan itu mengesahkan pandangan saya sebelum ini bahawa 1MDB di bawah kepimpinan baru Arulkanda Kandasamy tidak ada bezanya dengan 1MDB sebelum ini dari aspek ketelusan dan tata kelola. Saya membawa isu SRC International ini untuk menguji sama ada Arulkanda Kandasamy akan berlaku telus dan menerangkan secara terperinci latar belakang dan keterlibatan 1MDB dalam SRC International.

Kenyataan 1MDB bahawa SRC International tidak ada kena mengena dengannya cuba menyembunyikan satu fakta yang sangat penting: SRC International pada mulanya ditubuhkan sebagai anak syarikat 1MDB dan kemudiannya dipindahkan kepada MOF Inc.

Sebab itu, 1MDB sewajarnya menjawab persoalan-persoalan ini:

1.      Kenapa SRC International ditubuhkan dan mengambil hutang RM4 bilion dari dana pencen rakyat?

2.      Kenapa selepas mendapat dana RM4 bilion dari Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), tiba-tiba 1MDB memindahkan SRC International kepada kerajaan melalui MOF Inc?

3.      Pada ketika SRC International dipindahkan kepada MOF Inc, syarikat itu telah mencatat kedudukan kewangan yang mana hutangnya telah melebihi dari aset. Adakah tindakan 1MDB memindahkan SRC International kepada MOF Inc disebabkan SRC International ini telah diketahui dari awal akan mengalami masalah kewangan?

4.      Ke manakah wang RM4 bilion yang diambil dari duit pencen rakyat itu dibelanjakan?

Ini adalah soalan-soalan pokok yang wajib dijawab oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak kerana beliau bertanggungjawab bagi 1MDB dan Kementerian Kewangan. Pada pengetahuan saya, tidak pernah sebuah syarikat yang berhutang sebegini rupa dipindahkan sewenang-wenangnya kepada kerajaan dan menyebabkan hutang kerajaan bertambah sebanyak RM4 bilion secara serta merta.

Saya sertakan bukti-bukti berikut dari laporan kewangan yang diaudit bagi tahun berakhir 31 Mac 2012 yang mengesahkan bahawa SRC International adalah anak syarikat 1MDB sebelum ia dipindahkan kepada MOF Inc:

Mukasurat 1:
“Principal Activities” mengesahkan bahawa SRC International ditubuhkan untuk terlibat di dalam aktiviti perlombongan dan tenaga seperti mana yang saya sebut sebelum ini. Ia selari dengan laporan akhbar antarabangsa bahawa SRC International merancang untuk melabor dalam lombong arang batu di Mongolia.

Mukarusat 3:
“Other Statutory Information” mengesahkan bahawa jumlah hutang syarikat ini telah melebihi jumlah aset dan lazimnya syarikat sebegini dikira menghadapi risiko muflis.

Mukasurat 4:
“Directors” mengesahkan bahawa ahli-ahli Lembaga Pengarah 1MDB juga dilantik sebagai Pengarah di dalam SRC International. Datuk Paduka Ismee adalah ahli Lembaga Pengarah 1MDB. Datuk Shahrol Azral adalah bekas CEO 1MDB dan kini ahli Lembaga Pengarah 1MDB. Vincet Koh adalah Ketua Pegawai Pelaburan (Chief Investment Officer) 1MDB. Nik Faisal Nik Ariff yang dilantik menjadi CEO SRC International adalah kenalan Jho Low dari UBG Berhad. Jawatan-jawatan penting di dalam SRC International semuanya dipegang oleh pegawai-pegawai 1MDB atau mereka yang rapat dengan Jho Low atau individu berpengaruh dalam 1MDB.

Mukasurat 10:
“Statements of Comprehensive Income” menunjukkan syarikat ini tidak mempunyai sebarang aktiviti dan menanggung kerugian walaupun telah mengambil hutang RM4 bilion dari dana pencen rakyat.

Mukarusat 11:
“Statements of Financial Position” mengesahkan bahawa jumlah hutang syarikat ini melebihi jumlah aset sebanyak RM77 juta. Lazimnya, syarikat begini dikategorikan sebagai mempunyai risiko muflis yang tinggi.

Mukasurat 12:
“Non-current liability” mengesahkan SRC International telah mengambil hutang RM4 bilion.

Mukasurat 32:
“Investment in subsidiary company” mengesahkan bahawa syarikat lain dari kumpulan ini yang mempunyai nama yang sama (SRC International Malaysia Limited) adalah pada asalnya milik 1MDB melaui 1MDB Real Estate Sdn Bhd. Ia telah dijual oleh 1MDB kepada SRC International pada 2 September 2011.

Mukasurat 37:
“Islamic term financing” mengesahkan bahawa 1MDB melalui SRC International telah mengambil hutang RM4 bilion dari dana pencen awam yang dijamin oleh kerajaan.

Maklumat-maklumat ini secara jelas menunjukkan bahawa 1MDB adalah dalang di belakang SRC International yang telah mengambil dana pencen sebanyak RM4 bilion. Sehingga kini, 1MDB telah gagal memberikan penjelasan ke manakah wang RM4 bilion itu telah dibelanjakan dan saya akan terus bertanya kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak dan 1MDB sehingga ia dijelaskan dengan baik.

RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agung KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

20 Januari 2015