Monday, January 5, 2015

Malaysia dinobat antara tempat persaraan paling menarik di dunia

NEW YORK: Di sebalik nahas melibatkan syarikat penerbangan yang berpangkalan di Malaysia, Malaysia tetap memiliki daya tarikan istimewa, terutama bagi golongan pesara dari Amerika Utara yang mencari lokasi di luar negara untuk melarikan diri daripada kenaikan kos sara hidup, cuaca sejuk melampau dan tekanan hidup seharian.

Malaysia mendapat kedudukan istimewa dalam Indeks Persaraan Global Tahunan 2014 yang menyusun senarai menyeluruh tentang apa yang dikenali sebagai 'best-bang-for-your-buck retirement destinations on the planet'.

Malaysia tersenarai sebagai satu daripada lima destinasi persaraan paling disukai, di belakang Ecuador, Mexico dan Panama  dan mendahului semua destinasi persaraan lain di Asia.

Negara Asia lain yang tersenarai dalam indeks itu, tetapi jauh di belakang Malaysia, ialah Thailand, Filipina dan Vietnam.

Indeks ini disediakan dengan menggunakan input daripada pasukan pewarta 'International Living' yang bertugas di pelbagai bandar raya, di samping data tepat masa tentang iklim, penjagan kesihatan, kos sara hidup, keselamatan diri dan faktor lain.

Dengan menggunakan keterangan gambar "Malaysia Great Value for Money in a Cultural Melting Pot", indeks itu menjelaskan bahawa setiap tahun, semakin ramai ekspatriat mengagumi peluang yang ditawarkan Malaysia.

"Negara itu merupakan antara ekonomi paling cergas di Asia dan ini terpamer melalui taraf hidup tinggi yang dinikmati penduduk tempatan dan ekspatriat.

"Itu hanyalah satu daripada pelbagai faktor lain yang menyebabkannya diberi ranking tertinggi dalam kalangan negara Asia dalam indeks tahun ini," katanya.

Kualiti kehidupan di Malaysia dianggap meliputi kecekapan kos dan hebat. Di lokasi yang selalunya menjadi pilihan utama ekspatriat seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, harta tanah berkualiti tinggi mudah didapati untuk disewa pada kos rendah.

"Kenapa perlu membeli sedangkan anda boleh menyewa satu unit pangsapuri seluas 1,600 kaki persegi yang mempunyai kolam renang dengan hanya $850 sebulan?" tanya pengarang indeks itu.

Mereka seterusnya berkata seseorang itu boleh menikmati kehidupan mewah di Malaysia dengan bajet sederhana.

"Dengan belanja tambahan, anda boleh menikmati pelbagai makanan tempatan yang mencerminkan kepelbagaian budaya yang wujud di Malaysia.

"Dengan hanya $5, anda boleh menikmati hidangan lazat dan mendapat sebotol wain pada harga sama. Makanan yang dijual di gerai juga tidak kurang sedapnya," kata mereka.

International Living mengambil contoh warga New York, Thomas ONeal, yang tinggal di Pulau Pinang.

Mereka memetiknya sebagai berkata: "Saya menyewa satu unit pangsapuri seluas 1,600 kaki persegi, yang mempunyai kolam renang dan mengambil masa hanya lima minit berjalan kaki untuk ke pusat beli-belah Gurney Plaza.

"Saya membayar sewa hanya $850 sebulan. Saya tidak perlu memiliki kereta dan oleh itu saya menjimatkan wang. Saya sukakan cuacanya, purata 82 Fahrenheit, serta kemudahan untuk ke Thailand, Kemboja, Vietnam dan Laos.

"Jika diambil kira semua ini dengan kos sara hidup $1,500 sebulan, termasuk sewaan, ia sukar ditandingi."

Indeks itu seterusnya berkata Malaysia adalah tempat paling sesuai untuk anda meneroka pelbagai kekayaan alam semula jadi, sejarah dan budaya yang terdapat di Asia Tenggara.

Kewujudan semakin banyak syarikat penerbangan tambang rendah Asia kebelakangan ini memudahkan lagi seseorang itu untuk meneroka Thailand, Indonesia, India dan Jepun.

Di Malaysia, Asia berada di depan pintu anda.

"Mendapatkan penerbangan terus ke Amerika juga tidak menjadi masalah dan ini memudahkan anda untuk pulang bercuti ke negara asal.

"Akses internet juga tidak menjadi masalah kerana setiap tahun, internet berkelajuan tinggi semakin menyeluruh di negara ini. Kemudahan ini kini boleh didapati secara meluas dan pada kadar murah di tempat pilihan utama ekspatriat seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

"Hasil daripada peninggalan zaman penjajahan Inggeris, bahasa Inggeris digunakan secara meluas oleh penduduk tempatan dan ini memudahkan anda menyesuaikan diri dan berurusan.

"Tempat seperti Pulau Pinang juga mempunyai banyak acara sosial untuk anda berhibur dan mencari peluang untuk bergaul dengan penduduk tempatan dan ekspatriat," kata O'Neal.

Tourism Malaysia boleh memasarkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan menarik, terutama dalam kalangan pesara untuk menjana hasil serta memberi kesan limpahan terhadap sektor ekonomi lain di Malaysia.

Beberapa pakar Amerika Utara berpendapat Malaysia perlu melancarkan kempen untuk menghebahkan kemudahan yang terdapat di Malaysia kepada golongan pesara.

"Tourism Malaysia perlu memanfaatkan indeks ini dengan pantas. Jangan persia-siakan kesempatan yang ada sebelum ia hilang," kata George Richards, seorang ejen pengembaraan tentang indeks itu.