Wednesday, January 14, 2015

Pemecatan Mejar Zaidi tak ikut perlembagaan, nilai Islam

Tindakan pemecatan Pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Zaidi Ahmad tidak selaras dengan hak asasi Malaysia yang dijamin di bawah Perkara 10 (1)(a) Perlembagaan Persekutuan, kata Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Mahfuz Omar.
Mejar Zaidi dihukum buang kerja oleh Mahkamah Tentera selepas didapati bersalah terhadap dua tuduhan melibatkan isu dakwat kekal semasa Pilihan Raya Umum (PRU13) dan menyiarkan maklumat surat pertukaran kerjanya, dua tahun lalu.
“Kesalahan Mejar Zaidi hanya kerana menyatakan kebenaran bahawa dakwat yang digunakan dalam PRU13 tak kekal. Keberanian itu patut dipuji kerana keberaniannya tampil menegakkan kebenaran sedangkan yang bersalah yang membekalkan dakwat tak kekal tidak dikenakan hukuman.
“Pemecatan itu tidak selaras dengan perkara 10, di mana sepatutnya tiap-tiap warganegara adalah berhak bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran mereka,” tegasnya dalam sidang media di Ibu Pejabat Pas, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur hari ini.
Dalam pada itu, Mahfuz merangkap Ahli Parlimen Pokok Sena pemecatan itu juga tidak selari dengan dengan usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mencanangkan transformasi dalam kerajaan.
“Perdana Menteri juga perlu menyemak semula protokol dan prosedur yang terkandung berkaitan isu supaya selari denagn prinsip kebebasan bersuara dan keadilan sejagat.

“Dan saya tekankan bahawa tindakan menghukum orang yang bercakap benar ini juga bertentangan dengan tradisi agama Islam,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mahfuz berkata Pas menyatakan sokongan penuh kepada Mejar Zaidi dan berharap beliau dan keluarganya bersabar dengan ujian ini dan yakin kepada janji Allah bahawa kebenaran akan tiba nanti.
“Pas menyokong sepenuhnya kepada Mejar Zaidi serta keluarganya dan berharap sabar menempuhi dugaan ini kerana Allah akan memberikan ganjaran yang besar kepada orang yang sabar ujiannya,” jelasnya.