Monday, February 16, 2015

Akaun bank sultanah Pahang bocor

Akaun bank sultanah Pahang bocor
Sultanah Kalsom Abdullah, permaisuri Sultan Ahmad Shah, muncul dalam senarai rakyat Malaysia yang mempunyai akaun di bank HSBC Switzerland, lapor Konsortium Antarabangsa Wartawan Penyiasatan (ICIJ).

Laporan itu, beRdasarkan maklumat bocor yang digelar sebagai “Swiss Leaks”, meletakkan Malaysia di tempat ke-87 antara negara yang mempunyai jumlah dolar terbesar dalam fail berhubung pelanggan-pelanggan HSBC.

Jumlah maksimum pelanggan yang berkaitan dengan Malaysia sebanyak AS$67.7 juta (RM242 juta).

Swiss Leaks menimbulkan kegemparan apabila HSBC didakwa bersubahat dalam pengelakan cukai.

Ia menyenaraikan 77 pelanggan dari Malaysia antara 1982 dan 2006 melibatkan 201 akaun bank bernilai kira-kira AS$174 juta (RM623 juta).

Sepuluh negara teratas (berdasarkan jumlah) adalah:

- Switzerland (AS$31.2 bilion),
- United Kingdom (AS$21.7 bilion),
- Venezuela (AS$14.8 bilion),
- Amerika Syarikat (AS$13.4 bilion),
- Perancis (AS$12.5 billion),
- Israel (AS$10 bilion),
- Itali (AS$7.5 bilion),
- Bahamas (AS$7 bilion),
- Brazil (AS$7 bilion), dan
- Belgium (AS$6.3 bilion).

Sultanah Pahang, 63, disenaraikan oleh HSBC sebagai "suri rumah", dihubungkan dengan akaun "3678TE", daripada September 1994 hingga 1997.

Fail-fail yang bocor itu tidak mendedahkan butiran lain berhubung akaun Sultanah Kalsom, termasuk jumlah wang miliknya.

Warga Malaysia lain dalam Swiss Leaks itu tidak dinamakan.

Sultanah Kalsom tidak memberikan sebarang reaksi apabila diminta mengulas berkali-kali oleh ICIJ, sebuah jaringan pengamal media di 65 negara yang menumpukan isu-isu rasuah dan ketelusan.