Thursday, February 5, 2015

Amerika Syarikat mula serangan di Iraq

WASHINGTON: Amerika Syarikat telah mulakan pengeboman udara ke atas sasaran militan Islam di Irbil,  berdekatan bandar Kurdish.

Ia menandakan serangan udara pertama AS ke atas Iraq semenjak ia menarik balik tentera daratnya dari negara bergolak itu pada 2011.

Barack Obama pada Khamis memberikan kebenaran untuk melancarkan serangan udara ke atas Iraq.

Berikutan itu, dua jet FA-18 menjatuhkan bom berpandukan laser seberat 227 kg ke atas sasarannya, iaitu Pergerakan Negara Islam Iraq dan Levant (ISIS).

AS mendakwa ISIS melakukan serangan ke atas tentera Kurdish bernama ‘pershmega’ yang cuba mempertahankan Irbil dan mengancam warga AS di bandar tersebut.

"Seperti mana yang telah dijelaskan presiden, tentera AS akan meneruskan serangan tindak balas ke atas ISIS apabila mereka mengancam kakitangan dan kemudahan kami," menurut jurucakap Pentagon John Kirby.