Thursday, February 19, 2015

Najib: Dakwaan Sirul 'mengarut'

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan dakwaan bekas anggota polis elit Sirul Azhar Umar bahawa dia bertindak atas arahan sebagai “mengarut”.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina MCA di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur bersama isterinya Rosmah Mansor.

Najib pada mulanya memberikan ucapan Tahun Baru Cina dengan berkata beliau yakin rakyat Malaysia mampu menjadikan 2015 sebagai tahun yang baik walaupun berdepan cabaran ekonomi.

Sejurus selepas itu, pemberita mengajukan soalan tentang dakwaan Sirul, termasuk yang menyebut bahwa “orang penting yang mempunyai motif” dalam kes itu masih bebas.

Menunjukkan tidak setuju dengan dakwaan itu, Najib menggelengkan kepalanya berkali-kali dan mula beredar.

Diasak pemberita, Najib kemudiannya menjawab “mengarut” sambil tersenyum dan kemudian berlalu pergi.

Dalam wawancara melalui telefon, Sirul mendakwa dia hanya mengikut arahan dan pihak yang mempunyai motif untuk membunuh Altantuya Shaariibuu masih bebas.