Tuesday, April 7, 2015

Aidana Baizieva

Siapa 'wanita misteri' Kyrgystan dalam heli?
Aidana Baizieva
Spekulasi muncul kenapa terdapat seorang warganegara Kyrgystan dalam helikopter yang terhempas di Semenyih dan mengorbankan enam orang pada Sabtu.

Aidana Baizieva, salah seorang penumpang dalam helikopter itu, tetapi tidak seperti pihak lain, identitinya masih misteri setakat ini.

Mayatnya telah dikenal pasti hari ini oleh seorang wanita, dipercayai anggota keluarga, yang enggan bercakap kepada media.

Seorang pegawai kedutaan Kyrgystan mengesahkan kerakyatan Aidana dan memberitahu mStar bahawa dia berada di Malaysia sekurang-kurangnya setahun.

Maklumat lain, daripada laporan The Malaysian Insider, menyebut Aidina masih bujang.

Aidana dikenal pasti oleh Kementerian Pengangkutan pada Sabtu malam sebagai pembantu operasi helikopter.

Spekulasi menyebut bahawa beliau pembantu juruterbang tetapi Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata dia bukan pembantu juruterbang kerana helikopter itu tidak memerlukan pembantu.

Menteri: Pekerja syarikat penerbangan

Dakwaan bahawa seorang wanita bertudung yang bergambar bersama juruterbang helikopter itu Clifford William Fournier itu sebagai Aidana juga ternyata palsu.

Selain Aidana dan Fournier, penumpang lain dalam helikopter itu ialah anggota Parlimen Rompin Jamaluddin Jarjis, setiausaha sulit perdana menteri Azlin Alias, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang serta pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan Seran.

Kumpulan itu sebelumnya hadir ke majlis perkahwinan anak perempuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Pekan, Pahang.

Punca nahas masih disiasat.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini turut mengulas mengenai identiti Aidana yang menimbulkan tanda tanya.

Liow sekali lagi menegaskan mangsa wanita itu adalah kakitangan syarikat penerbangan berkenaan dan bukan pembantu juruterbang, lapor Bernama.