Wednesday, April 1, 2015

Anwar bukan lagi ahli Parlimen

Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh pada 16 Mac lalu sebaik sahaja Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohonnya.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata surat memaklumkan keputusan petisyen pengampunan diraja itu diterima hari ini.

Beliau berkata petisyen pengampunan bagi Anwar diputuskan dalam mesyuarat lembaga itu pada 16 Mac lalu bahawa hukuman penjara bagi tempoh lima tahun yang dikenakan terhadap Anwar atas sabitan tuduhan liwat hendaklah diteruskan.

"Dengan keputusan ini, makanya Yang Berhormat Permatang Pauh telah hilang kelayakannya sebagai Ahli Parlimen pada 16 Mac 2015 iaitu sebaik sahaja petisyen bagi suatu pengampunan itu diputuskan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, katanya, suatu pemberitahuan telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaras dengan Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan mengenai kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh sebaik sahaja kehilangan kelayakan Anwar sebagai Anggota Parlimen mula berkuat kuasa mengikut Perenggan (c) Fasal (4) Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.

Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh hari ini berkata Yang di-Pertuan Agong telah menolak permohonan Anwar dalam mesyuarat lembaga itu pada 16 Mac lalu.

Pada 24 Februari lepas, isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta dua anak mereka, Nurul Izzah dan Nurul Nuha menyerahkan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

- Bernama