Thursday, April 16, 2015

Menteri: Wanita kesepian lebih 'rapuh' dan mereka habiskan masa untuk melayari Internet dan media sosial

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, wanita yang kesunyian terdedah kepada pengaruh dakyah kumpulan militan seperti Negara Islam di negara ini.

Kata Jamil, kebiasaannya wanita yang kesepian lebih 'rapuh' dan sebahagian besar masa mereka dihabiskan untuk melayari Internet dan media sosial.

Justeru, katanya, golongan terbabit lebih mudah terpengaruh dengan gerakan militan berkenaan.

"Kebiasaannya wanita-wanita sunyi yang tidak boleh tidur pada tengah malam akan berjaga dengan Facebook masing-masing. Walaupun jam dua, tiga pagi, mereka masih leka dengan Facebook masing-masing lagi.

"Biasanya pada waktu tersebut, media sosial sedikit lengang. Ketika itulah anggota gerakan militan ini mencari mangsa dan mempengaruhi wanita-wanita berkenaan," katanya.

Jamil berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Seminar Kelestarian Keselamatan Negara 2015 di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan), Kuala Lumpur.

Menurut Jamil, golongan itu lebih mudah terpengaruh sehinggakan seorang remaja perempuan seawal usia 14 tahun turut terjebak dengan propaganda militan itu.