Tuesday, May 5, 2015

Keputusan PRK Rompin dapat diumumkan seawal pukul 11 malam ini

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata SPR menyasarkan peratusan keluar mengundi mencecah 80 peratus, berbanding 86 peratus pada pilihan raya umum ke-13 lalu.

Beliau juga menjangkakan keputusan PRK Rompin dapat diumumkan seawal pukul 11 malam, mengambil kira kawasan Parlimen Rompin yang sangat luas, iaitu 5,390.2 kilometer persegi merangkumi tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bukit Ibam, Muadzam Shah dan Tioman.

Hari ini merupakan cuti peristiwa buat Pahang dan dijangka lebih ramai pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka.

PRK Rompin menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN dan calon PAS bagi mengisi kekosongan kerusi itu selepas kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis.

Jamaluddin yang juga pengerusi Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) meninggal dunia pada 4 April lalu akibat nahas helikopter di Semenyih, Selangor.

Dalam pilihan raya umum ke-13, Jamaluddin mengekalkan kerusi yang disandangnya hampir enam penggal itu dengan mengalahkan bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi, lapor Bernama lagi.

Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Hasan Arifin dan calon PAS Nazri Ahmad antara yang awal keluar mengundi.

Hasan, 62, bersama isteri Datin Rizidah Karim, 57, mengundi di Sekolah Kebangsaan Leban Chondong, tempat kelahiran beliau pada pukul 8.55 pagi.

Manakala Nazri, 40, yang berpakaian sedondon baju berwarna merah hati mengundi di Sekolah Agama Rakyat LKTP Keratong 5, di tanah rancangan Felda, tempat beliau dibesarkan, pada pukul 8 pagi.

Pengarah Pejabat Pilihan Raya Pahang Shafie Taib berkata pusat pengundian di Pulau Tioman akan ditutup secara berperingkat pada pukul 2 petang dan 3 petang memandangkan jumlah pengundi tidak ramai.

Sementara pusat mengundi di Bukit Ridan, Muadzam Shah yang mempunyai 312 pengundi akan ditutup pada jam 4 petang, dan pusat mengundi yang lain ditutup pada jam 5 petang.

Khamis lepas seramai 464 orang atau 85.1 peratus daripada 545 pengundi telah menunaikan tanggungjawab dalam pengundian awal di empat pusat mengundi di kawasan parlimen ini.

Sebanyak 38 pusat mengundi dengan 115 saluran untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin dibuka mulai pukul 8 pagi ini bagi membolehkan 52,744 pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka.

Ini termasuk empat pusat mengundi di Pulau Tioman iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Tekek yang mempunyai 651 pengundi, Sekolah Kebangsaan Juara (171 pengundi), Balai Raya Kampung Genting (142 pengundi) dan Sekolah Kebangsaan Mukut (136 pengundi).